MAYAT bayi dibungkus dengan plastik serta kain tebal yang menjumpai di dalam tong sampah kitar semula. FOTO Ihsan Pembaca
MAYAT bayi dibungkus dengan plastik serta kain tebal yang menjumpai di dalam tong sampah kitar semula. FOTO Ihsan Pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin


Bangi: Pekerja syarikat kitar semula terkejut apabila menjumpai bungkusan plastik yang mengandungi mayat bayi di dalam tong sampah kitar semula di Jalan Persiaran Seri Putra 2, Bandar Seri Putra, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada orang awam yang menjumpai mayat bayi berkenaan dibungkus di dalam plastik, pada 4.41 petang.

"Siasatan awal mendapati saksi yang menjumpai mayat bayi terbabit adalah pekerja syarikat kitar semula yang datang untuk mengumpul barangan kitar semula.

"Individu itu menemui satu bungkusan plastik mencurigakan yang mengeluarkan bau busuk sebelum dia membuka plastik berkenaan dan menemui mayat bayi berkenaan dibalut dengan kain," katanya dalam kenyataan, malam tadi.

LOKASI penemuan mayat bayi di Jalan Persiaran Seri Putra 2, Bandar Seri Putra, Bangi. FOTO Ihsan Pembaca
LOKASI penemuan mayat bayi di Jalan Persiaran Seri Putra 2, Bandar Seri Putra, Bangi. FOTO Ihsan Pembaca

Mohd Zaid berkata, mayat bayi berkenaan dianggarkan seberat antara dua hingga tiga kilogram dan dipercayai meninggal dunia kurang daripada 36 jam.

"Bagaimanapun, jantina dan bangsa bayi terbabit belum dapat dipastikan kerana masih berbungkus plastik dan kain yang tebal.

"Mayat bayi berkenaan dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kajang untuk bedah siasat," katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan jalan membuang mayat dengan sulit.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Suresh di talian 017-4333795 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 12:12 AM