MUHAMMAD Aiman Syaqir berkongsi rezeki dengan mengagihkan lebih 100 burger percuma kepada penduduk. FOTO Ihsan Muhammad Aiman Syaqir Nordin
MUHAMMAD Aiman Syaqir berkongsi rezeki dengan mengagihkan lebih 100 burger percuma kepada penduduk. FOTO Ihsan Muhammad Aiman Syaqir Nordin
Redzuan Muharam


Kota Bharu: Lazimnya, wang dan barangan keperluan menjadi pilihan kebanyakan individu untuk disumbang kepada yang memerlukan.

Bagaimanapun, lain pula kisahnya dengan usahawan muda, Muhammad Aiman Syaqir Nordin, 22 yang memilih berkongsi rezeki dengan memberi lebih 100 burger percuma kepada penduduk sekitar Pengkalan Chepa, di sini baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Muhammad Aiman Syaqir berkata, inisiatif itu dilakukan pada 9 Jun lalu dengan niat memberi peluang penduduk Kubang Kerian, di sini merasa burger jualannya.

"Sebahagian individu mungkin beranggapan burger sebagai makanan mampu milik kerana harganya yang murah. Hakikatnya, memang ada individu yang jarang sekali atau sudah lama tidak menikmatinya.

"Disebabkan itu, saya ambil kesempatan berkongsi rezeki dengan memberi burger percuma kepada penduduk bagi menggembirakan mereka dalam tempoh pandemik yang belum reda ini," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Muhammad Aiman Syaqir yang masih menuntut dalam pengajian Diploma Kejuruteraan Awam di Politeknik Shah Alam, Selangor berkata, sasaran awalnya adalah untuk menyumbang 100 burger saja.

Bagaimanapun, kehadiran di luar jangkaan sasaran, jadi Muhammad Aiman Syaqir agihkan juga burger percuma kepada mereka yang datang lewat.

Muhammad Aiman Syaqir berkata, dia tidak berseorangan kerana dibantu sahabat rakan kongsi perniagaannya Alif Imran Mohamed, Muhammad Hasif Mohd Sanusi, Amir Luqman Ruzlan dan Nik Muhammad Haikal Kamarudzaman yang masing-masing berusia 22 tahun.

"Selain penduduk, saya agihkan juga burger percuma kepada pengurusan sebuah pusat tahfiz untuk dinikmati penghuninya.

"Alhamdulillah, misi saya tercapai dan besar harapan untuk mengadakan program sama pada hadapan.

"Apa saya lakukan ini juga untuk beri kesedaran kepada diri supaya sentiasa ingat dengan orang jauh lebih susah kerana saya dulu juga bermula daripada bawah sebelum sampai ke tahap ini.

"Lagipun, ibu bapa dan guru di sekolah lama iaitu Maahad Muhammadi Lelaki Kelantan sering berpesan untuk tidak berkongsi rezeki yang ada jika mampu dan nasihat itu menjadi panduan saya sehingga kini " katanya yang sudah memiliki sebuah cawangan menjual burger dan kentang bersalut keju.

 MUHAMMAD Aiman Syaqir (tiga daripada kanan) menjalankan inisiatif sedekah burger  dengan rakan kongsinya. FOTO Ihsan Muhammad Aiman Syaqir Nordin
MUHAMMAD Aiman Syaqir (tiga daripada kanan) menjalankan inisiatif sedekah burger dengan rakan kongsinya. FOTO Ihsan Muhammad Aiman Syaqir Nordin

Dalam pada itu, Muhammad Aiman Syaqir berkata, dia turut merancang mewujudkan bank makanan di cawangannya kelak dalam usaha mengajak masyarakat untuk turut sama menyumbang.

"Kita tidak tahu sampai bila pandemik ini akan berakhir dan sepanjang tempoh itu, ramai terkesan.

"Jadi, saya mahu berikan platform kepada masyarakat untuk menyumbang mengikut kemampuan mereka di bank makanan itu nanti.

"Bagi saya, ia bertepatan dengan slogan Kita Jaga Kita yang dilaungkan selama ini," katanya yang tidak menyangka video agihan burger itu meraih tontonan tinggi selepas dimuat naik di TikTok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 9:02 PM