Sudirman Mohd Tahir


Situasi pandemik yang masih membelenggu negara, memaksa penyanyi Aizat Amdan menangguhkan perancangannya untuk ke Los Angeles, Amerika Syarikat.

Aizat yang baru-baru ini menjenamakan diri sebagai Ai.Z seterusnya melancarkan single The Last Thing adalah langkah awal untuk ke peringkat antarabangsa.

Ai.Z atau nama sebenarnya Muhammad Aizat Amdan, 32, berkata, promosi lagu ciptaan bersama Yuna itu turut ditangguhkan.

"Promosi di Los Angeles perlu ditangguhkan kerana keadaan sekarang ini yang membataskan pergerakan ke luar negara. Jadi, saya hanya fokus pada program yang dijalankan di sini.

"Jujurnya sekatan pergerakan ini sedikit sebanyak ada memberi kesan kepada semangat saya untuk mempromosikan lagu saya di sana, sebab kalau boleh ke Los Angeles mungkin saya akan dapat jumpa orang baharu dan menimba pengalaman lain. Tapi, buat masa sekarang saya perlu bersabar dan patuhi undang-undang.

"Sudah tentu saya perlu menjaga keselamatan diri sendiri dan keluarga. Jadi walau macam mana pun, saya perlu menangguhkan perancangan untuk ke sana," katanya.

Berkongsi mengenai sambutan lagu yang diterbitkan oleh Kuizz Shah itu, Ai.Z berkata dia tidak menjangka ia akan menerima sambutan yang positif.

"Sejak lagu The Last Thing dilancarkan pada Jun lalu, syukur alhamdulillah jumlah 'streaming' sudah mencecah 500,000 dan muzik video lagu itu pula tontonannya kini mencecah lebih 200,000 di saluran YouTube.

"Sememangnya ini adalah permulaan yang sangat bagus bagi saya, kerana tidak pernah menyangka ia akan menerima sambutan sebaik ini. Alhamdulillah," katanya.

AIZAT turut terbabit dalam penerbitan album terbaharu Monoloque  berjudul Lagu Perang.
AIZAT turut terbabit dalam penerbitan album terbaharu Monoloque berjudul Lagu Perang.

Pun begitu, Ai.Z perlu akur dan berlapang dada apabila turut menerima maklum balas negatif daripada pendengar.

"Ada yang komen positif dan ada juga yang negatif. Contohnya, ada yang cakap apa saya lakukan ini sekadar main-main dan mungkin dipaksa.

"Tapi bagi saya, itu semua tidak penting kerana fokus saya pada kerjaya dan buat yang terbaik dalam projek ini. Saya juga mahu berusaha yang terbaik untuk membanggakan nama Malaysia dan keluarga saya. Itu saja fokus saya buat masa sekarang," katanya.

Terdahulu, lagu itu diperdengarkan pada program kelolaan deejay dan penerbit terkemuka, Zane Lowe di platform Apple Music. Malah, artikel mengenai single itu turut dimuatkan dalam portal Harpers Bazaar Malaysia.

AIZAT bersama Yuna yang juga pencipta bersama lagu The Last Thing.
AIZAT bersama Yuna yang juga pencipta bersama lagu The Last Thing.

Cari masa lancar lagu

Pada masa sama, Ai.Z berkongsi dia akan muncul dengan single seterusnya yang masih dalam proses pembikinan.

"Dalam masa terdekat ini, saya akan tampil dengan single baharu. Cuma, sekarang ia masih di dalam proses pembikinan. Diharapkan ia akan dapat dilancarkan tak lama lagi.

"Apapun, saya akui keadaan pandemik ini memang sukar nak menganggarkan masa untuk melancarkan lagu. Dengan keadaan semua orang di dalam keadaan yang susah, dari segi mental dan fizikal.

"Jadi kita kena bersabar kerana ini adalah cabaran yang kita hadapi sekarang. Tapi macam mana pun, kerjaya tetap perlu diteruskan dan insya-Allah saya akan terus menghasilkan sedaya upaya karya apa yang saya boleh," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ai.Z juga terbabit di dalam penerbitan album terbaharu Monoloque berjudul Lagu Perang (Bunyian Gamelan Melayu di Abad Ke-21).

Ai.Z berkata, dia menyumbangkan suaranya dalam penghasilan lagu Nongga serta Urusan Seri Paduka Baginda.

"Jujurnya susah bekerja dengan Loque, kerana dia seorang yang mementingkan kesempurnaan. Jadi apabila bekerjasama dengan orang sepertinya, kita perlu bersungguh-sungguh. Tapi juga, bekerja dengan orang seperti Loque, adalah pengalaman yang berharga dan tak boleh dilupakan.

"Saya banyak belajar mengenai gamelan Melayu di dalam pembikinan album ini. Saya berasakan album dihasilkan itu berharga buat orang muda yang banyak bertanya mengenai identiti kita di Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 6:00 AM