ANGGOTA bomba menutup lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba menutup lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan. FOTO ihsan bomba
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Bau busuk seperti tayar dibakar selain kepulan asap dilihat keluar di tali air di belakang Kampung Baru Sri Aman, Seelong, Kempas, di sini, malam tadi.

Lebih menakutkan, penduduk mendakwa hidupan akuatik seperti ikan dan labi-labi mati di tali air berkenaan.

Penduduk, A Khalib Muslim, 70, berkata, bau busuk yang menyesakkan nafas itu dapat dihidu sejak jam 9 malam sehingga awal pagi tadi.

"Selepas solat Isyak penduduk termasuk saya dapat menghidu bau hangit seperti tayar dibakar yang amat kuat.

"Saya termasuk penduduk lain mula mencari-cari sumber dari manakah bau busuk itu datang sebelum melihat kepulan asap keluar dari tali air berdekatan.

"Apabila suluh di tali air berkenaan kami nampak ikan serta labi-labi mati malah kami juga sukar bernafas sebelum kekecohan berlaku apabila ada penduduk yang pengsan," katanya ketika ditemui.

Media pagi ini melaporkan dua penduduk Kampung Baru Sri Aman, Seelong, di sini, pengsan manakala ratusan lagi terpaksa dipindahkan selepas terhidu bau busuk disyaki bahan kimia daripada sungai berhampiran kampung itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, dua wanita masing-masing berusia 20 serta 40 tahun dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

Sehubungan itu, arahan pengosongan kampung itu dibuat dengan 102 penduduk kampung terpaksa dipindahkan sementara ke Balai Raya Kampung Sinaran Baru.

Sementara itu tinjauan di Kampung Baru Sri Aman, Seelong, mendapati hampir 40 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berada di lokasi kejadian dan membuka sebuah bilik gerakan.

Orang awam termasuk penduduk turut dilarang memasuki kawasan lokasi kejadian dengan pita keselamatan turut dipasang di kawasan berhampiran.

Berita berkaitan

Puluhan penduduk sesak nafas, loya

Dua wanita pengsan, lebih 100 penduduk dipindahkan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 10:41 AM