Pengukir daun, Muhammad Hafizi Abdul Karim, 30, menunjukkan ukiran daun yang bermotifkan kemerdekaan. FOTO Ihsan Muhammad Hafizi Abdul Karim
Pengukir daun, Muhammad Hafizi Abdul Karim, 30, menunjukkan ukiran daun yang bermotifkan kemerdekaan. FOTO Ihsan Muhammad Hafizi Abdul Karim
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque


Sungai Petani: Mahu menampilkan kelainan bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan ke-64, seorang pelukis menghasilkan karya dengan hanya menggunakan daun sebagai 'kanvas' seninya.

Tanpa sebarang cela, Muhammad Hafizi Abdul Karim, 30, mengukir susuk Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ketika melaungkan kemerdekaan 64 tahun lalu pada ukiran daunnya itu.

Tidak hanya itu, Muhammad Hafizi turut mengukir monumen bersejarah Tugu Negara yang menjadi tugu peringatan buat pejuang yang terkorban ketika menentang komunis sebagai satu daripada karya seninya kali ini.

"Saya mahu cipta kelainan berbanding mengibar Jalur Gemilang kerana ia sudah dibuat banyak pihak.

"Kemahiran ukiran yang saya miliki ini digunakan untuk menterjemahkan rasa sayang kepada Malaysia sempena sambutan kemerdekaan," katanya kepada Harian Metro.

Muhammad Hafizi berkata, ukiran Tunku Abdul Rahman dipilih kerana Perdana Menteri pertama itu antara mereka yang bertanggungjawab membawa Malaysia keluar daripada cengkaman penjajah dan dikenang sebagai Bapa Kemerdekaan.

Bagi ukiran Tugu Negara pula, dia berkata, ia dihasilkan sebagai memperingati pejuang tanah air yang terkorban demi menentang komunis sehingga generasi kini mampu hidup aman dan selesa.

Katanya, ukiran menggunakan daun nangka itu mengambil masa selama satu jam untuk disiapkan setiap satu.

Katanya, hasil seninya ini boleh dikenang kerana mungkin pertama kali ukiran bermotifkan kemerdekaan dihasilkan menggunakan ukiran daun.

"Saya harap kemerdekaan yang dicapai ini akan dapat dikekalkan bukan sekadar laungan semata-mata malah disemat dalam jiwa setiap rakyat tidak kira bangsa dan agama.

"Dalam situasi pandemik Covid-19 ini diharap rakyat Malaysia terus bersatu memastikan negara kita bukan saja terus aman, malah keluar daripada kemelut kesihatan ini secepat mungkin," katanya.

Sebelum ini, tangan seni yang dimiliki Muhammad Hafizi ini pernah mencetuskan fenomena apabila menghasilkan ukiran Masjid al-Aqsa sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin.

Sebelum ini, Muhammad Hafizi banyak melukis potret, namun timbul idea untuk menghasilkan ukiran menggunakan daun nangka sebagai 'kanvas' seninya kerana mahukan kelainan.

Bagi Muhammad Hafizi, lukisan menggunakan daun nangka itu boleh dilihat sebagai satu seni ukiran yang baharu, justeru dia berazam memperluaskan bakatnya menerusi 'kanvas' seni itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 7:02 AM