Mereka yang merakam kemalangan di Abu Dhabi boleh didenda dan dipenjara. Foto Agensi
Mereka yang merakam kemalangan di Abu Dhabi boleh didenda dan dipenjara. Foto Agensi
Agensi

Abu Dhabi: Jika negara lain tidak menganggap orang ramai yang mengerumuni kemalangan dan merakam gambar atau video sebagai satu kesalahan, ia sama sekali berbeza di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Anda berkemungkinan didenda dan boleh dipenjarakan sekiranya berkumpul di tempat kemalangan dan merakam kejadian, susulan penguatkuasaan undang-undang mengenainya.

Denda sehingga sehingga 1,000 dirham (RM1,130) boleh dikenakan jika sabit kesalahan, menurut laporan Khaleej Times.

Tindakan tegas itu diambil bertujuan mendidik masyarakat dan bagi melancarkan operasi menyelamat, agar ambulans dan polis tiba di lokasi kejadian tanpa halangan lalu lintas.

Baru-baru ini, Polis Abu Dhabi berkongsi video di media sosial yang menunjukkan sekumpulan penunggang motosikal berkumpul dan meletakkan kenderaan sesuka hati serta menghalang lalu lintas selepas dua kereta kemalangan.

Video itu juga menunjukkan orang ramai yang melalui kawasan berkenaan mengeluarkan telefon untuk merakam kejadian.

Seiring itu, polis memberi amaran perbuatan perakam gambar atau video kemalangan juga boleh dihukum penjara dan denda di bawah undang-undang berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 6:30 AM