MOHD Zulkefali (dua dari kiri) seronok menjadi sukarelawan untuk membantu OKU lain dan memberikan semangat kepada mereka. FOTO ihsan MOHD ZULKEFALI JAAFAR
MOHD Zulkefali (dua dari kiri) seronok menjadi sukarelawan untuk membantu OKU lain dan memberikan semangat kepada mereka. FOTO ihsan MOHD ZULKEFALI JAAFAR
Redzuan Muharam


Kota Bharu: Biarpun menghidap penyakit buah pinggang dan masih menjalani rawatan dialisis, Mohd Zulkefali Jaafar tetap aktif membantu Orang Kurang Upaya (OKU) memerlukan terutama dalam tempoh pandemik.

Lebih mengagumkan, Mohd Zulkefali, 40, yang menetap di Kampung Padang Salim, di sini tidak menerima apa-apa imbuhan daripada bantuan diberikan itu dan melakukannya secara sukarela sejak 2008.

Mohd Zulkefali yang berstatus OKU dan kudung kaki kanan selepas dipotong pada 2012 akibat penyakit untut pada awalnya melakukan kerja sukarelawan itu bagi mengisi masa terluang kerana tidak bekerja.

"Lama-kelamaan, saya jadi seronok kerana dapat membantu golongan senasib.

"Alhamdulillah, saya tidak berseorangan, sebaliknya mendapat kerjasama rakan, penghulu yang banyak membantu menyalurkan maklumat selain wakil rakyat menyumbang kenderaan utiliti sukan (SUV) bagi memudahkan pergerakan.

"Buat masa ini, saya aktif membantu OKU mendaftar pengambilan suntikan vaksin di MySejahtera dan membawa mereka menghadiri janji temu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV)," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bapa kepada seorang anak perempuan berusia 11 tahun itu berkata, aktiviti sukarelawan dijalankan setakat ini tidak bercanggah dengan jadualnya untuk menjalani rawatan dialisis.

Katanya, dia menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu iaitu pada Ahad, Selasa dan Khamis dan menggunakan masa terluang pada Jumaat dan Sabtu untuk melakukan kerja sukarelawan.

"Selain membantu urusan pendaftaran dan kehadiran ke janji temu suntikan vaksin, saya turut turun padang bertemu dengan keluarga OKU terutama ibu bapa mereka.

"Ini kerana masih ada di antaranya tidak tahu bantuan diberi kerajaan dan malu berdepan masyarakat hingga ada penduduk setempat tidak tahu mereka ada anak istimewa.

"Jadi, penting untuk saya beri penerangan dan bantuan supaya mereka keluar bergaul dengan masyarakat," katanya yang kini menyandang jawatan sebagai Penyelaras OKU Parlimen Ketereh selain aktif sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Skuad Upaya Malaysia.

Mohd Zulkefali berkata, dia terdorong melakukannya kerana pernah hilang keyakinan diri disebabkan status diri sebagai OKU.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana dikelilingi individu yang banyak memberinya kekuatan dan kini berazam menjadi contoh kepada OKU lain untuk berdikari dan turut sama membantu masyarakat.

"Saya sakit sejak di sekolah rendah lagi cuma awalnya kaki tidak bengkak, tetapi ia semakin membesar.

"Pada 2010, saya disahkan menghidap masalah buah pinggang dan penyakit semakin kronik selepas kaki dipotong menyebabkan perlu menjalani rawatan dialisis hingga kini.

"Dulu, saya anggap tiada apa yang boleh dilakukan lagi selepas bergelar OKU, namun isteri (Norazita Mohd Yusoff, 39), keluarga dan rakan membantu pulihkan semangat untuk bangkit," katanya.

Setakat ini, dia menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 8:00 PM