AJARAN sesat bukan jalan pintas menuju ke syurga.
AJARAN sesat bukan jalan pintas menuju ke syurga.
KAFE AHAD

Sampai bila ajaran sesat akan terus bertapak di Malaysia? Mengapa ia terus mudah bertapak? Apa pula langkah diambil agensi berkaitan untuk membanterasnya?

Baru-baru ini, Metro Ahad/Harian Metro mendedahkan ajaran baharu dikenali sebagai Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) sebelum pengasasnya ditahan polis.

Paling membimbangkan, apa akan jadi jika pengikut fanatik ajaran sesat sanggup melakukan apa saja, termasuk mencipta kekacauan, untuk merealisasikan hasrat mereka.

Ikuti wawancara Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja) DR ZAMIHAN MAT ZAIN yang juga pakar pemulihan akidah bersama wartawan, MUHAMMAD SAUFI HASSAN.

Kita ada ramai agamawan, agensi berkaitan agama, pakar rujuk agama, malah tokoh agama tersohor namun ajaran sesat masih lagi berkembang. Kenapa?

Faktor utama mengapa ramai masyarakat kita masih terjebak dengan ajaran sesat adalah kerana kejahilan.

Golongan ini lebih suka mencari agama dengan jalan yang mudah, mahu sesuatu yang 'tidak diajar' oleh pendakwah arus perdana, akibatnya mereka terjerumus dalam mengenali seorang 'guru' yang bersifat palsu.

Wujud juga segelintir masyarakat pada hari ini yang sangat mudah terpesona dengan pemakaian serta tutur kata sehingga tidak menilai kata-kata seseorang itu sama ada benar atau sebaliknya.

Orang lebih mudah tergoda dengan kata-kata lembut daripada individu berkaitan sedangkan kata-katanya memberi maksud yang buruk.

Selain itu, perkara yang perlu kita akui adalah penguatkuasaan undang-undang syariah yang lemah serta terlalu banyak birokrasi hanya untuk menegakkan agama Islam ini.

Jika dilihat, penyebar ajaran sesat semuanya tiada langsung identiti atau 'gaya' penyebar kebenaran. Kenapa tetap ramai pengikut?

Wujud segelintir dalam masyarakat kita hari ini terlalu gemar untuk mencari 'rahsia' di dalam Islam itu sehingga tidak mengutamakan perkara yang asas dalam agama.

Kita tahu hari ini ada juga orang menyebarkan fahaman tentang mimpi yang diterimanya seperti yang didedahkan secara eksklusif di Metro Ahad/Harian Metro dan paling menariknya, hanya sekadar mimpi, dalangnya mampu menarik ribuan pengikut.

Perkara yang perlu kita lihat tentang ajaran sesat ini adalah pembabitan unsur lain dalam menarik perhatian orang lain atau kekaguman pihak ketiga.

Berdasarkan pengalaman saya, terdapat banyak ajaran sesat yang menggunakan sihir untuk menarik perhatian orang lain.

Namun, masih wujud faktor lain seperti ada dalam kalangan pesalah akidah atau pengamal ajaran sesat ini yang petah berkata-kata, pandai memutar belitkan dalil di dalam agama, mempunyai jaringan yang baik termasuk sokongan daripada aspek material pihak ketiga.

Kita tidak boleh menafikan semua faktor ini, ia sebenarnya wujud dan masih berlegar dalam 'komuniti ajaran sesat'.

KEMBALILAH kepada Allah SWT dengan sentiasa bermuhasabah serta menguasai disiplin ilmu Ahli Sunnah Wal Jamaah.
KEMBALILAH kepada Allah SWT dengan sentiasa bermuhasabah serta menguasai disiplin ilmu Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Golongan profesional turut jadi pengikut ajaran sesat sedangkan individu ini lebih terpelajar, bijak selain lebih berjaya daripada guru mereka. Puncanya?

Perkara paling asas yang perlu kita faham adalah tidak semua orang yang profesional itu mempunyai asas dalam beragama atau mampu menilai rasional setiap dakwaan seseorang yang kononnya bergelar guru dan mahu mencari jalan singkat.

Sepanjang pembabitan saya dalam program pemulihan baik daripada pengikut ajaran sesat ataupun tahanan yang terbabit dengan aktiviti keganasan, mereka ini mahu jalan pintas menuju ke syurga.

Wujud sebahagian daripada dua golongan yang saya nyatakan hidup dalam keadaan terlalu bebas, jadi mereka ada kesedaran untuk kembali kepada agama namun menjumpai saluran yang salah.

Akibat mahu mencari jalan pintas untuk mendapat reda Allah SWT, mereka terjerumus dalam kancah yang amat bahaya sehingga merosakkan keimanan, tauhid dan akidah secara keseluruhan.

Saya boleh katakan sebahagian besar pengikut ajaran sesat ini adalah mereka yang mahu 'cepat sampai kepada Tuhan' sehingga membelakangi setiap panduan yang sudah dinyatakan oleh ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Apa yang ada pada diri penyebar ajaran sesat ini hingga kata-kata dusta mereka ini disangka benar dalam kalangan pengikutnya?

Dalam banyak kes, jika kita analisis semula karektor ketua ajaran sesat ini, mereka selalunya mempunyai keterampilan dalam berkata-kata dan memutarbelitkan ayat al-Quran, hadis serta dalil-dalil agama yang lain.

Biarpun secara logiknya, kita boleh berfikir bahawa setiap kata-kata mereka ini sangat bersalahan dengan dalil serta logik akal namun bagi pentaasub sesuatu ajaran, mereka memegang kata ketua mereka dengan sungguh-sungguh.

Kedua, ketua sesuatu ajaran ini perlu licik dalan menggunakan kata-kata termasuk gabungan ilmu akhir zaman yang semakin dekat di hati masyarakat kita pada hari ini.

Cuba kita buat sedikit pola atau trend ciri utama kumpulan ajaran sesat, pasti kita akan menjumpai ciri antaranya dijanjikan pengikut Imam Mahdi, masuk ke dalam syurga dengan jaminan 'guru' berkenaan serta terlepas daripada neraka.

Menggabungkan ilmu akhir zaman antaranya gerakan panji hitam, tentera al-Mahdi dan sebagainya termasuk tawaran berbentuk material.

Akhirnya, pelengkap kepada ajaran sesat ini adalah golongan pengikut fanatik buta yang gagal meletakkan satu perspektif pemikiran yang rasional mengikut nas serta dalil yang benar.

Jika dilihat, penyebar ajaran sesat ini semuanya akan meminta perkara sama daripada pengikut seperti sumbangan wang serta harta benda selain keperluan batin atas nama 'kebenaran'?

Hawa nafsu sememangnya menjadi kuda tunggangan hampir semua ajaran sesat manakala melampiaskan nafsu dalam kalangan pengikut kononnya sebagai ritual penyucian dosa dan sebagainya.

Kalau kita lihat semula sejarah serta kes ajaran sesat terdahulu, motifnya memang seksual dengan meletakkan 1,001 janji manis tanpa disedari oleh pengikut sesuatu kumpulan ajaran sesat terbabit.

Bagaimanapun, rekaan konsep ajaran sesat itu sudah sedikit berubah beberapa tahun kebelakangan ini apabila kebanyakan kumpulan songsang ini lebih bermotifkan kepada wang kononnya sumbangan 'infaq' sedangkan untuk kegunaan sendiri.

Ajaran sesat di Malaysia tidak akan berakhir. Adakah ia kenyataan atau omong kosong?

Ya. Realitinya ajaran sesat di negara kita memang tidak akan berakhir kerana ia sentiasa berevolusi seiring perkembangan pemikiran kontemporari, cara hidup manusia dan tabiat kemanusiaan itu sendiri.

Kesimpulannya, kembalilah kepada Allah SWT dengan sentiasa bermuhasabah, menguasai disiplin ilmu Ahli Sunnah Wal Jamaah, beriman, beramal soleh dan berakhlak mulia sebagaimana Nabi kita, Nabi Muhammad SAW.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 8:00 AM