MISI The Pocket Rocket Man adalah meraih pingat emas pada Sukan Olimpik Paris nanti. FOTO BERNAMA
MISI The Pocket Rocket Man adalah meraih pingat emas pada Sukan Olimpik Paris nanti. FOTO BERNAMA
Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Ulang tahun kemerdekaan tahun ini begitu bermakna buat pelumba berbasikal trek nombor satu negara, Datuk Azizulhasni Awang selepas kejayaannya menyumbang pingat perak acara keirin di Sukan Olimpik Tokyo, baru-baru ini.

Tegasnya, pingat itu adalah hadiah untuk negara tercinta dan dia sudah membuktikan bahawa sukan dapat menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia.

"Perak ini untuk Malaysia. Insya-Allah jika diizinkan di Paris nanti saya akan hadiahkan emas pula untuk negara. Saya tidak akan pernah putus asa dan akan terus berusaha untuk negara. Ini kerana saya sangat gembira dapat melihat semua orang menyokong atlet kita apabila berada di hadapan televisyen untuk melihat kami beraksi.

"Saya harap perpaduan ini dikekalkan dan sebagai rakyat Malaysia jangan terlalu cepat terpengaruh dengan elemen lain sehingga mudah terpesong dan berpecah-belah. Biarlah seluruh rakyat Malaysia kekal utuh bersama, saling membantu sesama kita dari dulu, kini dan selamanya," katanya.

AZIZUL terpaksa meninggalkan keluarga demi mengharumkan nama negara dalam acara pecut dan keirin. FOTO Azizulhasni Awang
AZIZUL terpaksa meninggalkan keluarga demi mengharumkan nama negara dalam acara pecut dan keirin. FOTO Azizulhasni Awang

Juara dunia 2017 itu meninggalkan keluarga ketika berusia 15 tahun sewaktu tingkatan tiga untuk mengejar cita-cita sebagai pelumba negara dan tiada apa yang bermain di fikiran selain ingin mengharumkan nama negara di pentas dunia.

Azizul kini menjadi ikon sukan berbasikal dunia. Dengan tubuh yang kecil itu dia membuktikan segalanya mungkin andai diiringi dengan usaha dan disiplin, sesuai dengan gelaran yang diberikan kepadanya, The Pocket Rocket Man.

Kudrat dimiliki itu mampu menobatkannya selaku pelumba terbaik dunia beberapa kali dalam acara pecut dan juga keirin dengan mengetepikan jaguh Eropah yang bertubuh sasa.

Tegas anak Terengganu itu, dia tidak pernah menolak untuk kembali berpangkalan di Malaysia, malah itu memang menjadi hasratnya agar satu hari nanti dapat pulang dan berkhidmat untuk negara.

AZIZUL kini menjadi ikon sukan berbasikal dunia. FOTO Azizulhasni Awang
AZIZUL kini menjadi ikon sukan berbasikal dunia. FOTO Azizulhasni Awang

Apa yang dilakukan sekarang ini pun dengan memilih untuk berpangkalan di Melbourne, Australia juga sebenarnya demi Malaysia. Mencari sebanyak mungkin pengalaman untuk dikongsikan bersama-sama atlet negara.

Azizul bagaimanapun meminta untuk diberi tempoh satu setengah tahun lagi untuk dia menamatkan pelajaran terlebih dahulu.

"Memang jika boleh dan menjadi hasrat saya untuk balik ke Malaysia sebab saya pun dah lama berkelana di Melbourne.

"Saya pun ada dengar MSN (Majlis Sukan Negara), KBS (Kementerian Belia dan Sukan) bersama jurulatih John (Beasley) sedang berbincang dan membuat persediaan apa yang diperlukan sekiranya pulang ke Malaysia.

"Bagi saya memang tak ada masalah. Cuma saya mohon sedikit ruang untuk saya selesaikan pengajian saya dalam setahun setengah lagi dan kemudian akan pulang ke Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 7:01 AM