ISMAIL Sabri Yaakob. FOTO Bernama
ISMAIL Sabri Yaakob. FOTO Bernama
Ahmad Suhael Adnan


Kuala Lumpur: Dua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) mengesahkan parti itu bersetuju menyokong Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon tunggal Perdana Menteri, lapor BH Online.

Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, nama Ismail Sabri dipersetujui oleh semua 42 Ahli Parlimen BN untuk dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong, sebelum jam 4 petang esok.

Tajuddin berkata, Ismail Sabri sudah mendapat jumlah sokongan melebihi majoriti 111 yang diperlukan untuk membentuk kerajaan baharu.

"Umno dan BN bersama-sama dan bersetuju mencalonkan satu nama. Tentunya (calon itu mesra kepada semua parti luar BN).

"Ya, (calon itu) Ismail Sabri. Kami sudah melepasi sempadan (majoriti 111 untuk membentuk kerajaan)," katanya kepada media di Menara Dato' Onn, hari ini.

Beliau ditemui selepas menghadiri mesyuarat antara Ahli Parlimen BN bagi memutuskan calon Perdana Menteri yang perlu dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ia susulan notis dikeluarkan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang meminta Ahli Dewan Rakyat menyerahkan surat akuan bersumpah menamakan seorang calon Perdana Menteri kepada Istana Negara, sebelum tempoh berkenaan.

Ditanya parti yang turut memberi sokongan kepada Ismail Sabri, Tajuddin berkata, ia diperoleh daripada Perikatan Nasional (PN).

"Kami mendapat sokongan daripada Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan PAS," katanya.

Sementara itu, Azalina berkata, Ismail Sabri dipilih sebagai calon Perdana Menteri kerana beliau antara pemimpin paling kanan selepas Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Kelab Penyokong BN (BNBBC), Datuk Seri Najib Razak.

"Beliau juga bekas Timbalan Perdana Menteri. Dari segi itu, beliau dilihat boleh mendapat sokongan kami semua. Kami harapkan yang terbaik," katanya.

Azalina yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat, mengakui kerajaan baharu yang perlu dibentuk ketika ini, mesti dalam bentuk gabungan dan memerlukan kerjasama pelbagai pihak kerana perlu menguruskan pandemik Covid-19.

Katanya, semua Ahli Parlimen BN dalam mesyuarat malam tadi dimaklumkan calon Perdana Menteri BN akan turut disokong sejumlah parti tertentu untuk mendapat sokongan melebihi majoriti 111.

"Kita tak boleh nafikan fakta bahawa pembentukan kerajaan baharu perlu dalam bentuk gabungan.

"Sesiapa yang mengetuai pentadbiran negara selepas ini, perlu memberi fokus pada Covid-19. Ia memerlukan kerjasama berpasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 1:00 AM