BERNAMA

Kuala Lumpur: Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan beliau melakukan pelbagai ikhtiar hingga ke saat akhir untuk menyelamatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) setidaknya sehingga selesai tugas menguruskan pandemik Covid-19, program vaksinasi dan pemulihan ekonomi.

Bagaimanapun, beliau berkata, ikhtiar itu tidak berhasil disebabkan ada pihak yang rakus untuk merebut kuasa daripada mengutamakan nyawa dan kehidupan rakyat.

"Bagi saya, apa yang berlaku ini adalah ketentuan Allah SWT yang merupakan satu episod dalam sejarah perjuangan politik saya," katanya dalam perutusan khas yang disiarkan di stesen televisyen tempatan hari ini.

Katanya beliau telah menyerahkan warkah peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri dan seluruh Jemaah Menteri di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan kepada Yang di-Pertuan Agong disebabkan kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Muhyiddin berkata, walaupun beliau pada awalnya mencadangkan supaya keabsahannya sebagai Perdana Menteri ditentukan di Parlimen, namun 15 Ahli Parlimen UMNO telah menarik sokongan, manakala cadangan kerjasama rentas parti yang dikemukakan ditolak oleh parti pembangkang.

"Rayuan ikhlas dari jutaan rakyat Malaysia agar saya meneruskan tugas saya dan tidak meletakkan jawatan saya dengari. Namun, rayuan ini tidak dapat saya sambut kerana saya telah kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat," katanya.

MUHYIDDIN menyampaikan ucapan ketika perutusan khas selepas meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. FOTO ihsan RTM
MUHYIDDIN menyampaikan ucapan ketika perutusan khas selepas meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. FOTO ihsan RTM

Muhyiddin berkata beliau memimpin negara dalam keadaan krisis kesihatan dan ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan pada masa sama digugat dari segi politik.

"Enam tahun yang lalu, saya dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri semata-mata kerana saya mempertahankan prinsip untuk tidak berkompromi dalam kes penyelewengan 1MDB.

"Saya berjuang, saya berkorban, akhirnya Allah SWT mengangkat martabat perjuangan saya sehingga saya diberikan amanah untuk memimpin negara ini sebagai Perdana Menteri. Namun, telah ditakdirkan bahawa hari ini adalah hari terakhir saya sebagai Perdana Menteri dan saya reda dengan ketentuan Ilahi," katanya.

Katanya beliau boleh mengambil jalan mudah dengan mengorbankan prinsip untuk kekal sebagai Perdana Menteri, namun ia bukan pilihannya.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Ogos 2021 @ 4:06 PM