MUHYIDDIN ketika menyampaikan Perutusan Khas di Bangunan Perdana Putra hari ini. FOTO Bernama
MUHYIDDIN ketika menyampaikan Perutusan Khas di Bangunan Perdana Putra hari ini. FOTO Bernama
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan tiada seorang pun Ahli Parlimen lain dapat membuktikan mereka mendapat sokongan majoriti Dewan Rakyat bagi membolehkan Yang di-Pertuan Agong melantik Perdana Menteri baharu.

Justeru, Perdana Menteri berkata, jika beliau meletak jawatan pada masa ini, beliau mempersoalkan apa akan berlaku kepada masa depan negara jika krisis politik berlarutan dan kerajaan baharu tidak dapat dibentuk dalam kadar segera, selain pentadbiran mana yang akan memastikan program vaksinasi berjalan lancar dan mengikut jadual.

Katanya, beliau memikirkan dalam keadaan tiada seorang pun Ahli Dewan Rakyat lain yang mendapat sokongan majoriti pada masa ini, Perdana Menteri yang baharu tidak boleh dilantik menurut Perlembagaan.

"Apabila Perdana Menteri (baharu) tidak boleh dilantik, maka Kabinet pun tidak boleh dilantik dan kerajaan baharu tidak dapat dibentuk," katanya dalam Perutusan Khas yang disiarkan secara maya, hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin berkata, beliau mempunyai dua pilihan untuk mengatasi kemelut politik negara ketika ini iaitu memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya umum atau meletak jawatan menurut Perlembagaan Persekutuan.

"Saya patuh kepada Perlembagaan dan akan mengambil jalan terhormat untuk menyelesaikan kemelut politik yang sedang berlaku. Jika saya meletak jawatan pada masa ini, bukan saya seorang sahaja yang berhenti menjadi Perdana Menteri.

"Menurut Perlembagaan Persekutuan, saya hendaklah meletakkan jawatan seluruh anggota Jemaah Menteri. Ini bermakna kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mentadbir negara pada masa ini akan jatuh," katanya.

Muhyiddin menjelaskan, sekiranya terganggu dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan dan kerajaan sah tidak dapat dibentuk, sasaran imuniti kelompok tidak akan dapat dicapai dan nyawa rakyat akan terus berada dalam bahaya.

Beliau sebelum itu turut meluahkan dukacita dengan perkembangan politik yang berlaku mutakhir ini dan mengakui dirinya tidak terhindar daripada kelemahan dan kekurangan.

"Apa lagi dalam keadaan saya sebagai Perdana Menteri yang memikul suatu tanggungjawab berat untuk mengurus pandemik yang luar biasa ini sejak lebih setahun yang lalu.

"Pastinya, saya memerlukan sokongan dan dokongan daripada rakan-rakan saya dalam kabinet, pimpinan kerajaan negeri, pegawai-pegawai kerajaan, frontliners (barisan hadapan) dan rakyat seluruhnya untuk membolehkan saya melaksanakan tanggungjawab membawa negara ini keluar daripada krisis.

"Tidak kurang pentingnya ialah sokongan rakan-rakan Ahli Parlimen dalam kerajaan Perikatan Nasional yang mana dengan sokongan merekalah saya berada di sini pada hari ini. Keabsahan saya sebagai Perdana Menteri ditentukan oleh sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 7:48 PM