ABDUL Razak menujukkan cara menghasilkan gaharu pada pokok karas.
ABDUL Razak menujukkan cara menghasilkan gaharu pada pokok karas.
Oleh Nuraliawati Sabri


Alor Gajah: Mencecah harga puluhan ribu ringgit sebatang antara faktor kayu gaharu atau 'kayu emas' ini diburu ramai individu yang sanggup meredah belantara demi mendapatkan kayu bernilai ini.

Ia berikutan kayu dan minyak terhasil daripada pokok gaharu hutan lebih bernilai tinggi berbanding pokok karas ditanam di ladang untuk menghasilkan gaharu.

Menyedari potensi gaharu dan pulangan lumayan dijanjikan, kini ada individu mencebur diri dalam penghasilan kayu dan minyak gaharu secara serius.

Pengusaha gaharu yang juga pemilik Syarikat Biobenua Teknoloji Sdn Bhd, Datuk Abdul Razak Ali berkata, walaupun perusahaan ini mampu mendatangkan pulangan menguntungkan namun ia memerlukan kesabaran dan mengambil masa lama sebelum pokok karas dapat menghasilkan gaharu berkualiti setanding gaharu hutan.

"Sebelum ini gaharu hutan memang menjadi pilihan namun ia kian berkurangan. Walaupun begitu gaharu Malaysia masih mendapat permintaan tinggi terutamanya dari negara Timur Tengah.

"Pati gaharu gred paling baik (AA) mampu mencecah harga sehingga RM150,000 sekilogram manakala bagi teras pula dijual antara harga RM2,000 hingga RM18,000 sekilogram.

"Faktor bau dan warna kehitaman antara penentu kepada gred serta harganya," katanya ketika ditemui wartawan di premisnya di Kuala Sungai Baru di sini.

Katanya, disebabkan pulangan lumayan, ada segelintir pihak cuba memanipulasi hasil gaharu bagi memperoleh harga tinggi daripada pembeli.

"Ada yang disyaki sanggup menipu gred pati mahupun teras gaharu. Malah ada juga bertindak melukis, kayu biasa untuk kelihatan seperti teras gaharu asli sebelum dijual.

"Hakikatnya individu yang ingin masuk ke hutan bagi mendapatkan gaharu tidak boleh sewenang-wenang melakukannya. Ini kerana mereka perlu mendapatkan kelulusan dan permit terlebih dahulu," katanya.

Abdul Razak yang juga pengasas dan pembekal inokulasi Black Gold Biobooster bagi merangsang pembentukan gaharu ke atas pokok Karas berkata, selain pati dan teras, kayu gaharu juga mempunyai nilai yang tinggi apabila boleh dijual pada harga belasan ribu ringgit untuk dijadikan hiasan.

"Selain itu gaharu juga boleh menghasilkan produk hiliran lain seperti sabun, wangian dan setanggi. Sebagai pengusaha kami perlu kreatif mempelbagaikan jenis produk sampingan.

"Namun susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. industri gaharu turut terjejas apabila bekalan mencecah jutaan ringgit tidak dapat dipasarkan.

"Dianggarkan kira-kira 90 peratus gaharu adalah untuk pasaran Timur Tengah berikutan ia digunakan lebih meluas di sana berbanding masyarakat kita," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhutanan negeri Khairun Nizam Abdul Rahim berkata, kegiatan mencari gaharu secara haram dilaporkan di negeri ini tidak serius berikutan wujudnya ladang pokok karas yang ditanam untuk tujuan komersial.

"Hasil rondaan dilakukan antaranya di Hutan Simpan Sungai Udang, kami tidak mengesan berlakunya pencerobohan berikutan terdapat pengusaha gaharu di Melaka.

"Menjadi kesalahan besar kepada individu yang mengambil hasil gaharu tanpa kebenaran. Manakala pihak yang mengusahakan tanaman pokok karas juga perlu ada permit sebelum membuat sebarang pemindahan," katanya.

ANTARA produk yang terhasil  daripada pokok gaharu seperti pati minyak wangian dan kayu teras gaharu yang akan dipasarkan. FOTO SYAFEEQ AHMAD
ANTARA produk yang terhasil daripada pokok gaharu seperti pati minyak wangian dan kayu teras gaharu yang akan dipasarkan. FOTO SYAFEEQ AHMAD

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 1:00 PM