GAMBAR di Festival Lollapalooza 2021 yang dikongsi di media sosial. - FOTO Agensi
GAMBAR di Festival Lollapalooza 2021 yang dikongsi di media sosial. - FOTO Agensi
Agensi

Washington: Festival Muzik Lollapalooza di pinggir bandar Chicago mungkin menyebabkan lonjakan jangkitan Covid-19 selepas puluhan ribu berkumpul hujung minggu lalu.

Pakar kesihatan awam bimbang dengan situasi itu selepas festival empat hari itu mengumpulkan 100,000 penonton sehari bagi menghayati persembahan artis termasuk Foo Fighters, Megan Thee Stallion dan Tyler the Creator.

Portal The Guardian melaporkan, syarat penganjur untuk penonton hadir dengan menunjukkan kad vaksin Covid-19 atau bukti ujian saringan Covid-19 negatif 72 jam sebelumnya.

Bagaimanapun, doktor mengatakan lebih banyak sekatan perlu dilakukan ketika Amerika Syarikat (AS) berusaha menyekat penyebaran akibat varian Delta.

Pakar penyakit berjangkit Dr Tina Tan berkata, apabila seseorang berada dalam kelompok 100,000 atau lebih di tempat yang cukup tertutup dan tiada penjarakan sosial, sebahagian besarnya tidak memakai pelitup muka, jangkitan varian Delta cepat merebak.

Chicago merekodkan lebih 200 kes jangkitan baharu setiap hari, ambang yang dikenal pasti oleh pakar walaupun masih jauh di bawah angka wabak.

Mungkin dua hingga tiga minggu selepas festival Lollapalooza kadar kes baharu diketahui, dan ada juga kebimbangan mengenai orang yang mengunjungi bandar untuk festival menyebarkan Covid-19 di rumah.

"Saya tahu mereka berusaha menganjurkan Lollapalooza sebaik mungkin, tetapi saya rasa dengan peningkatan jumlah Covid-19, seharusnya ada beberapa perkara lain dilaksanakan," kata Tan, seorang profesor pediatrik di Northwestern Sekolah Perubatan Universiti Feinberg.

Tan berkata, beliau sangat prihatin kanak-kanak di bawah 12 tahun, yang tak dapat diberi vaksin berada di festival itu dan sepatutnya memakai pelitup muka.

Ketika semua negara berjuang menyekat pandemik itu, Tan berkata, satu-satunya cara selamat mengadakan festival muzik yang begitu besar adalah dengan melakukannya secara maya.

Untuk mengadakan acara sama secara selamat, beliau berkata, pengumpulan orang ramai harus lebih kecil, jarak sosial perlu dilakukan, perlu memakai pelitup muka dan hanya individu divaksin dapat hadir.

Sebagai tindak balas kepada kebimbangan yang timbul dalam beberapa minggu menjelang acara itu, Datuk Bandar Chicago, Lori Lightfoot pada sidang media pada Ahad berkata, jutaan orang menghadiri acara musim panas di Chicago, termasuk permainan besbol liga utama dan festival muzik yang lebih kecil.

"Kami dapat membuka, tetapi melakukannya dengan berhati-hati kerana vaksinasi.

"Jadi saya sangat gembira dengan apa yang kami lakukan. Jelas sekali, kita mengetahui sedikit lagi dalam seminggu hingga 10 hari. Kita perlu terus mengakui fakta yang tidak divaksinasi adalah orang berisiko," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 6:30 AM