PENJUALAN pil Ivermectin di pasaran gelap dan media sosial kini berleluasa.
PENJUALAN pil Ivermectin di pasaran gelap dan media sosial kini berleluasa.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Semakin huru-hara apabila kian ramai 'doktor celup' muncul dan mempromosikan penggunaan pil Ivermectin secara agresif tanpa memaklumkan kesan buruk pada kesihatan mangsa di media sosial.

Walaupun pil Ivermectin didakwa mampu menyembuhkan jangkitan Covid-19 namun 'doktor' tidak bertauliah ini tidak memaklumkan kesan sampingan antaranya penurunan tekanan darah secara mendadak, kerosakan hati, buta, sesak nafas dan koma.

Sumber Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, penjualan pil Ivermectin di pasaran gelap dan media sosial membabitkan pelbagai jenama semakin tidak terkawal kebelakangan ini.

"Walaupun peringatan diberikan berikutan tiada bukti saintifik yang menyokong penggunaan Ivermectin dalam rawatan atau pencegahan Covid-19 namun ramai pesakit memakan pil ini termasuk individu yang tidak dijangkiti Covid-19.

"Semakin ditegah namun semakin menjadi-jadi (penggunaan pil Ivermectin). Malah, keadaan diburukkan apabila wujud penipu scammer yang mengambil kesempatan menawarkan pil Ivermectin pada harga diskaun kepada orang ramai," katanya.

Menurutnya, kegusaran ini dibuktikan apabila kakitangan Cawangan Perkhidmatan Farmasi (CPF) Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor merampas lapan kotak pil Ivermectin yang cuba dibawa masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak awal Jun lalu.

"Ia membabitkan rampasan sejumlah 8,300 pil Ivermectin tidak berdaftar dengan KKM yang majoritinya diseludup dari India.

"Semua pil dirampas itu dianggar bernilai RM10,000. Namun berdasarkan harga jualan di pasaran ketika ini, harga sebiji pil Ivermectin berharga 50 sen kini dijual mencecah RM6 sebiji atau RM600 sekotak (berisi 100 pil Ivermectin)," katanya.

Katanya, aktiviti jualan 'sorok-sorok' ini semakin tidak terkawal susulan penyebaran pelbagai maklumat palsu selain testimoni meragukan mangsa covid-19 yang pulih selepas mendakwa mengambil pil Ivermectin.

"Tambah menakutkan apabila ramai individu yang tiada latar belakang pendidik perubatan turut terjebak berniaga pil Ivermectin hanya bersandarkan maklumat dikongsi melalui media sosial.

"Lebih membimbangkan apabila ada kalangan doktor swasta turut dikesan mempromosikan penggunakan pil Ivermectin berdasarkan siasatan dan maklumat diperolehi KKM," katanya.

Dr Adeeba.
Dr Adeeba.

Menurutnya, KKM berusaha tidak menyembunyikan sebarang fakta seandainya pil Ivermectin benar-benar mampu memulihkan pesakit Covid-19.

Sebelum ini pakar penyakit berjangkit negara, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman berkata, tiada bukti yang menyokong penggunaan Ivermectin dalam rawatan atau pencegahan Covid-19 berdasarkan kajian dikeluarkan Pengkalan Data Cochrane dari Ulasan Sistematik (CDSR).

"Secara keseluruhannya, menerusi bukti yang boleh dipercayai ia tidak menyokong penggunaan Ivermectin bagi rawatan atau pencegahan Covid-19.

"Menerusi laman web CDSR, pihak terbabit menemui 14 kajian membabitkan 1,678 peserta yang menggunakan Ivermectin tanpa rawatan, plasebo atau rawatan biasa.

"Untuk rawatan, terdapat sembilan kajian terhadap individu yang dijangkiti Covid-19 tahap sederhana di hospital dengan empat daripadanya adalah pesakit Covid-19 bergejala ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.

"Kajian dilakukan menggunakan dos Ivermectin yang berbeza dengan jangka masa dan rawatan yang berbeza. Selain itu CDSR turut menemui 31 kajian yang sedang berjalan serta 18 daripadanya masih memerlukan penjelasan daripada penyelidik dan ia belum diterbitkan," katanya.

CDSR memaklumkan menerusi kajian yang ditemui itu pihaknya membahagikan dua keputusan utama yang merangkumi penggunaan Ivermectin kepada pesakit Covid-19 yang dirawat di hospital serta pesakit luar yang dijangkiti virus berkenaan.

Bagi keputusan merawat pesakit Covid-19 di hospital, CDSR berkata, pihaknya tidak pasti penggunaan Ivermectin terhadap pesakit berkenaan berbanding dengan plasebo atau rawatan biasa.

"Selepas 28 hari menerima rawatan, kami tidak pasti penggunaan Ivermectin dapat menambah atau mengurangkan kadar kematian (dua kajian, 185 individu), memberi keburukan atau memperbaiki keadaan pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan (dua kajian, 185 individu) atau oksigen (satu kajian, 45 individu) serta meningkatkan atau mengurangkan kejadian tidak diingini (satu kajian, 159 individu).

"Bagi rawatan selepas tujuh hari, kami tidak pasti sama ada Ivermectin dapat meningkatkan atau mengurangkan ujian Covid-19 menjadi negatif (dua kajian, 159 individu).

"Selain itu, tiada bukti bahawa Ivermectin berbanding plasebo atau rawatan biasa boleh membuat sedikit perbezaan atau tiada perbezaan dalam memperbaiki keadaan pesakit Covid-19 selepas 28 hari menerima rawatan (satu kajian, 73 individu) atau tempoh tinggal di hospital (satu kajian, 45 individu)," katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini berkata, KKM hanya membenarkan penggunaan Ivermectin secara off-label (ubat di luar indikasi tertera dalam label dan belum atau di luar persetujuan badan atau lembaga bertanggungjawab) sehingga kajian menyeluruh dijalankan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Ogos 2021 @ 2:00 PM