TAK ada yang berubah, Syafiq tak pernah anggap dirinya begitu popular.
TAK ada yang berubah, Syafiq tak pernah anggap dirinya begitu popular.
Syafiq
Syafiq
Norhayati Nordin


Sebelum nama dan bakat lakonannya meledak dengan watak seorang jurugambar dan ustaz, Syafiq Kyle, 29, terlebih dulu mendapat perhatian penonton sebagai anak penggali kubur, Tok Adi dalam drama Tanah Kubur arahan Rashid Sibir.

Watak Johan yang dilakonkan Syafiq itu hingga kini diingati penonton kerana jenama drama Tanah Kubur sarat dengan pelbagai pengajaran dalam kehidupan demi menginsafkan kita semua.

Diam tak diam pembabitan Syafiq dalam kerjaya lakonannya sudah mencecah sedekad sejak dia mula mengatur langkah pada 2011 lalu.

Malah, apa yang boleh dilihat lagi, Syafiq juga sudah berjaya meraih beberapa anugerah sebagai 'bonus' bakatnya diiktiraf.

Namun begitu, walaupun rezeki lakonannya masih lebat, tahun lalu tidak banyak kisah Syafiq dipaparkan media.

Ia secara tidak langsung dilihat seakan-akan namanya sedikit merudum dan 'zaman kegemilangan' mula pudar.

Bersua dengan anak jati Kuala Lumpur ini pada sidang media virtual untuk drama terbaharu lakonannya berjudul Suara Hati, baru-baru ini, Syafiq berkongsi tanggapannya terhadap diri sendiri yang mendapat jolokan antara pelakon lelaki popular masa kini.

Alu-alukan kehadiran pelakon baharu, sentiasa yakin dengan rezeki Allah
Alu-alukan kehadiran pelakon baharu, sentiasa yakin dengan rezeki Allah

"Sebenarnya, selama aktif sebagai pelakon, saya tak pernah terfikir pun nak kejar glamor dan popular. Hingga sekarang pun, saya tak pernah rasa diri sudah begitu dikenali biarpun ada memenangi beberapa anugerah.

"Saya masih menjalani kehidupan seperti dulu dan tak ada apa yang berubah. Saya hanya belajar sentiasa bersyukur dengan setiap rezeki yang Allah berikan. Bagi saya, penting untuk selalu bersyukur itu," katanya.

Menurut Syafiq, walaupun ketika ini sudah ramai bakat baharu yang muncul, dia juga tidak berasa tergugat.

Katanya, sejak dulu dia sudah tanamkan dalam diri mesti sentiasa yakin dengan rezeki Allah.

"Pada saya, setiap daripada kita semua sudah Allah tetapkan rezeki masing-masing. Jadi, kenapa perlu nak risau dan takut? Dalam hal ini, kita

perlu pegang bahawa jika rezeki itu memang hak kita, ia pasti akan dimiliki juga.

"Saya pun pernah berada di posisi pelakon baharu. Jadi, saya tahu apa kesukarannya dan jangan berhenti berusaha. Kehadiran bakat baharu dan muda penting juga untuk industri. Justeru, saya memang mengalu-alukan kehadiran mereka," katanya.

Berbicara juga mengenai keadaan semasa pandemik Covid-19 yang belum reda, Syafiq tidak menafikan ia turut menjejaskan sumber pendapatannya.

Katanya, pendapatannya terjejas kerana ada projek drama yang tertangguh penggambarannya. Bagaimanapun, dia tidak terlalu memikirkan masalah itu.

"Apa yang saya lebih fikirkan sekarang adalah sentiasa memastikan tahap kesihatan mental dan fizikal berada dalam keadaan baik dan normal. Ini kerana ada kalanya kita tidak perasan tahap kesihatan mental terganggu.

"Lebih-lebih lagi dengan penularan Covid-19 yang masih tidak berpenghujung ini, ramai orang yang kehilangan pekerjaan dan dihimpit masalah kehidupan. Jadi, sekarang saya lihat ramai orang mudah diserang kemurungan kerana mental terganggu dengan pelbagai masalah.

"Oleh itu, selain menjaga pemakanan dan melakukan aktiviti senaman untuk penjagaan kesihatan badan, saya juga lebih banyak berfikir positif. Malah, saya cuba mengelak daripada terdedah dengan pemikiran yang negatif," katanya.

TELITI karya terbaik, Syafiq mahu terus mendapat peluang melakonkan watak yang mantap.
TELITI karya terbaik, Syafiq mahu terus mendapat peluang melakonkan watak yang mantap.

Menurut Syafiq, dia yang tinggal bersendirian sentiasa berhubung dengan ibu bapanya.

Katanya, penting untuk dia saling menghubungi keluarga dan rakan untuk bertanya khabar dalam situasi sekarang.

Suka teroka watak

Memasang tekad untuk dirinya mampu bertahan dalam kerjaya lakonan diminati ini, Syafiq berkata, dia sentiasa memastikan mutu lakonan dipersembahkannya tidak hambar. Setiap watak dilakonkan, dapat dibawa dengan baik.

"Saya biasanya akan meneliti dulu jalan cerita drama yang akan dibintangi. Jika jalan cerita bagus dan mantap, ditambah wataknya sesuai dan mampu dilakonkan, saya terima tawaran itu.

"Ditambah lagi, masih banyak watak yang perlu saya lakonkan. Ini kerana saya juga belum puas menerokai jalan cerita dan watak untuk terus memantapkan persembahan dalam lakonan," katanya.

Berbicara mengenai drama Suara Hati, Syafiq berkata, dia melakonkan watak Harris, seorang pemuda yang aktif dalam sukan. Malah, demi mengejar cita-cita menjadi ahli sukan berjaya, Harris sanggup mengorbankan cintanya.

"Untuk watak Harris ini, yang dekat dengan diri saya ialah minat pada sukan. Apatah lagi, saya sangat suka bola sepak dan futsal. Cuma, ketika musim wabak ini banyak kekangan untuk bersukan," katanya.

Drama adaptasi dari novel, Suara Hati sebanyak 13 episodarahan Emi Sufian ini disiarkan di slot Tiara, Astro Prima, setiap jam 6 petang dari Isnin hingga Jumaat.

Selain Syafiq, drama yang memuatkan kisah percintaan ini turut dibintangi Hanna Aqeela, Aidil Aziz, Zera Hariz, Afzan A Rahman, Fazlina Ahmad Daud dan Liza Rafar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 6:40 AM