Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menafikan dia antara Ahli Parlimen yang didapati positif Covid-19.

Beliau berkata, keputusan 'swab test' terhadapnya sudah diperoleh dan ia didapati negatif Covid-19.

"Pagi tadi memang ada kesangsian tetapi sekarang sudah ok," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Ketika ditanya adakah keputusan ujian Covid-19 dirinya negatif, beliau mengiyakan dan menafikan laporan dirinya adalah seorang daripada Ahli Parlimen yang positif Covid-19.

Hari ini media melaporkan tiga Ahli Parlimen didapati positif Covid-19, sementara empat lagi menjadi kontak rapat dalam ujian saringan dijalankan semalam.

Ketujuh-tujuh mereka kini sedang menjalani kuarantin dan tujuh Ahli Parlimen terbabit daripada blok kerajaan dan pembangkang.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dikatakan positif Covid-19 pula enggan mengulas mengenainya ketika dihubungi.

Pegawai Komunikasi Strategik kepada Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Muhammad Afiq Mohd Hanif mengesahkan Datuk Rashid Hasnon dan pegawainya negatif Covid-19.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pula berkata, pihaknya masih belum menerima maklumat penuh berkaitan perkara itu.

Sidang Khas Parlimen dijadualkan berlangsung pada Isnin ini dengan 220 Ahli Parlimen menyatakan komitmen untuk hadir, selain selesai menjalani ujian calitan.

Seramai 72 pengamal media dibenarkan membuat liputan di bangunan Parlimen dengan persidangan boleh diikuti menerusi Youtube serta aplikasi Zoom.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 9:44 PM