Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua tuduhan melakukan pecah amanah dana parti bernilai RM1 juta dan salah guna wang kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Bagi pertuduhan pertama, Syed Saddiq, 29, didakwa sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang telah diamanahkan penguasaan ke atas dana Armada, telah melakukan pecah amanah ke atas dana itu, dengan membuat pengeluaran wang berjumlah RM1 juta melalui cek CIMB Bank Berhad, tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.


Syed Saddiq juga dituduh menyalahgunakan harta iaitu, wang sumbangan untuk kempen PRU14 sebanyak RM120,000 yang dikutip melalui akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.

Kesalahan itu dilakukan di Maybank Islamic Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di antara 8 April sehingga 21 April 2018 dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Faridz Gohim Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir.

Manakala, Syed Saddiq diwakili peguam Gobind Singh Deo dan Datuk Ambiga Sreenevasan.

Syed Saddiq ketika hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Aizuddin Saad.
Syed Saddiq ketika hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Aizuddin Saad.

Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM500,000 bagi pertuduhan pertama dan RM300,000 untuk pertuduhan kedua, namun tertuduh menerusi peguam belanya merayu jaminan dikurangkan.

Hakim kemudian memutuskan Syed Saddiq diberi jaminan RM300,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan pertama, serta syarat tambahan pasportnya diserahkan dan perlu melapor diri ke pejabat SPRM Kuala Lumpur setiap bulan.

Mahkamah juga membenarkan wang jaminan RM50,000 dibayar hari ini, manakala baki selewat-lewatnya Selasa depan, selepas menerima permohonan penangguhan bayaran daripada Gobind.

Bagi pertuduhan kedua, jaminan ditetapkan RM30,000 dengan seorang penjamin.

Tarikh sebutan semula kes pada 10 September depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 10:26 AM