Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Jumlah kes baharu Covid-19 meningkat hari ini, apabila merekodkan 12,366 kes berbanding 10,972 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif kes wabak itu di negara ini sebanyak 939,899 kes dan 133,703 kes aktif.

Menurutnya, daripada jumlah kes baharu itu, hanya 178 kes atau 1.5 peratus berada pada kategori tiga hingga lima.

"Sebanyak 7,327 kes atau 59.3 peratus adalah pesakit pada kategori 1 iaitu tiada gejala dan 4,861 kes kategori 2 yang bergejala ringan.

"Manakala sebanyak 93 kes adalah pesakit pada kategori 3 yang mengalami radang paru-paru, kategori 4 iaitu radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen ( 33 kes) dan kategori 5 iaitu kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan (52 kes)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, seramai 924 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 448 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Selain itu, katanya, terdapat 93 kes kematian yang dilaporkan hari ini membabitkan 91 warganegara dan dua bukan warganegara.

"Daripada jumlah itu, 31 kes dilaporkan di Selangor, 16 kes di Johor, sembilan kes di Melaka, lapan kes di Kedah, tujuh kes di Pahang, masing-masing lima kes di Pulau Pinang, Negeri Sembilan serta Perak.

"Masing-masing dua kes di Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak serta satu kes di Terengganu," katanya.

Beliau berkata, pertambahan kes kematian itu menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian akibat Covid-19 ialah sebanyak 7,241 kes.

Tambah beliau, negara turut merekodkan 7,567 kes sembuh hari ini, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 798,955 kes atau 85 peratus daripada keseluruhan kes.

Selangor masih lagi merekodkan kes tertinggi iaitu 5,524 kes.

Ia diikuti Kuala Lumpur yang merekodkan 1,580 kes, Negeri Sembilan (970 kes), Johor (793 kes), Kedah (701 kes), Sabah (657 kes), Pulau Pinang (460 kes), Sarawak (351 kes), Melaka (309 kes), Perak (295 kes), Pahang (288 kes), Terengganu (190 kes) dan Kelantan (179 kes).

Dua negeri yang merekodkan dua angka kes hari ini iaitu Putrajaya sebanyak 50 kes manakala Labuan (17 kes) sementara Perlis hanya merekodkan dua kes.

ORANG ramai yang hadir menjalani ujian saringan Covid-19 di Mak Mandin. FOTO Danial Saad
ORANG ramai yang hadir menjalani ujian saringan Covid-19 di Mak Mandin. FOTO Danial Saad

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Julai 2021 @ 5:02 PM