Jambatan kedua Pulau Pinang. FOTO ARKIB NSTP
Jambatan kedua Pulau Pinang. FOTO ARKIB NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Pulau Pinang menjadi negeri terbaharu yang beralih fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula Rabu ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peralihan itu dibuat selepas negeri berkenaan mencapai tiga nilai ambang fasa kedua PPN.

Menurutnya, purata kes jangkitan harian selama tujuh hari di Pulau Pinang adalah sebanyak 9.5 kes per 100,000 kes sehari.

"Kadar penggunaan katil wad unit rawatan rapi (ICU) pula berada pada tahap sederhana manakala kadar vaksinasi lengkap dua dos ke atas populasi dewasa pula sudah capai 10.1 peratus.

"Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri hari ini meneliti pembentangan peralihan fasa bagi negeri di bawah PPN.

"Berdasarkan tiga indikator ini dan penilaian terperinci agensi termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kerajaan bersetuju untuk melaksanakan peralihan fasa PPN bagi Pulau Pinang berkuat kuasa 7 Julai ini," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ismail Sabri berkata, bagi negeri yang sudah berjaya beralih ke fasa dua dinasihatkan untuk terus melindungi komuniti daripada jangkitan Covid-19 dan tingkatkan prestasi supaya beralih ke fasa seterusnya.

Katanya, ini akan membantu untuk mempercepatkan proses pemulihan sektor-ekonomi dan sosial di negeri berkenaan.

Sebelum ini, Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang menjadi negeri terawal beralih fasa kedua PPN bermula hari ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 7:26 PM