GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Sebanyak 107 kematian akibat Covid-19 dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia membabitkan 98 warga tempatan serta sembilan warga asing berusia antara 27 hingga 92 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kronik.

"Kes-kes itu menjadikan jumlah kumulatif kematian sebanyak 5,434 kes atau 0.70 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 892 kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 443 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, beliau berkata, kes baharu Covid-19 mencatatkan sedikit penurunan apabila merekodkan sebanyak 6,658 kes hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 772,607 kes dengan 66,958 kes aktif.

Katanya, daripada jumlah itu, 11 kes import dilaporkan, manakala 6,647 kes lagi membabitkan penularan tempatan.

"Selangor kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 3,047 kes diikuti Negeri Sembilan (699 kes) dan Kuala Lumpur (616 kes).

"Sebanyak 5,677 kes dilaporkan pulih hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah 700,215 kes atau 90.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, Malaysia mencatatkan kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) 1.07 semalam.

"Negeri yang mencatatkan nilai RT tertinggi adalah Pahang (nilai RT 1.27).

"Negeri lain yang mencatatkan RT melebihi 1.0 adalah Putrajaya (1.13), Selangor (1.07), Pulau Pinang (1.07), Melaka (1.07), Kuala Lumpur (1.03), Kedah (1.03) dan Perak (1.00)," katanya.

Beliau berkata, Malaysia pernah mencatatkan Rt 19 tertinggi pada permulaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 (18 Mac 2020) dengan nilai RT 3.5.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 8:07 PM