Mohd Amin Jalil


Seremban: "Dia seorang suami dan bapa yang penyayang serta mengambil berat terhadap keluarga. Saya tak sangka dia bertindak sehingga ke tahap itu," kata Nur Asma Husna Mohamed Fuad.

Nur Asma Husna, 31, dari Taman Nusa Intan Senawang, di sini, adalah isteri kepada seorang lelaki berusia 31 tahun yang dipercayai mengalami tekanan perasaan akibat hilang pendapatan apabila bertindak mengurung isteri dan dua anaknya di rumah mereka, malam kelmarin.

Menurutnya, dia menyedari keadaan suaminya berubah sikap dan seperti tertekan yang amat sangat sejak dua hari sebelum kejadian itu.

"Sejak dua tiga hari sebelum kejadian itu, dia nampak lain, banyak termenung dan adakalanya bercakap sesuatu yang tidak logik.

"Bila saya tanya dia enggan jawab dan kalau jawab pun hanya sepatah. Dia kelihatan tidak stabil ketika itu, tapi saya hanya fikir positif dan tidak sama sekali menyangka sesuatu yang tidak baik.

"Bagaimanapun pada malam hari kejadian itu secara tiba-tiba dia bersikap lain termasuk merosakkan telefon saya.

"Melihat kepada keadaan diri dan tindakannya itu, saya menjadi takut lalu keluar dari rumah menjerit dan meminta pertolongan jiran," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ibu kepada dua anak berusia empat bulan dan setahun itu berkata, suaminya seorang yang tidak suka meminta bantuan orang lain apabila menghadapi sesuatu masalah.

Suri rumah itu berkata, sejak mendirikan rumah tangga bersamanya selama enam tahun, dia tidak pernah bersikap agresif seperti itu.

"Malahan dia seorang bapa yang penyayang dan mengambil berat terhadap keluarga.

"Bagaimanapun sejak kehilangan pendapatan angkara wabak Covid-19, dia nampak berubah dan kelihatan tertekan.

"Saya cuba berkongsi masalah tetapi kebelakangan ini dia tidak banyak bercakap," katanya.

Nur Asma Husna juga berkata, suaminya seorang yang sihat dan tidak mengalami sebarang penyakit.

Menurutnya, ketika dia bujang, suaminya seorang aktif bersukan dan gemar bermain bola sepak selain menunggang basikal bersama rakan-rakan.

"Bagaimanapun sejak bekerja sebagai jurujual kereta, aktiviti kecergasan itu agak terbatas kerana komitmen kepada kerjaya," katanya.

Dia akui ketika ini buntu memikirkan kejadian yang berlaku terhadap keluarganya dan mahu bertenang terlebih dulu sebelum mencari jalan penyelesaian terbaik untuk kepentingan keluarganya.

"Saya berharap ada pihak yang sudi membantu, mungkin dari segi sokongan moral dan motivasi agar suami kembali tenang," katanya.

Dalam kejadian kelmarin, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Senawang terpaksa bertindak menyelamatkan keluarga itu dengan mengumpil pintu pagar dan gril rumah selepas lelaki berkenaan dipercayai mengurung isteri dan dua anaknya di rumah.

Berita berkaitan

Bomba selamatkan wanita dikurung suami alami tekanan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 7:28 PM