MUHAMMMAD Dzulkifli tidak bekerja selepas menghidap diabetes kronik dan hilang keupayaan fizikal. FOTO Ihsan Muhammad Dzulkifli Abdullah
MUHAMMMAD Dzulkifli tidak bekerja selepas menghidap diabetes kronik dan hilang keupayaan fizikal. FOTO Ihsan Muhammad Dzulkifli Abdullah
Redzuan Muharam


Port Dickson: Tidak sampai setahun selepas kehilangan jari kaki kiri pada 2019 lalu, Muhammad Dzulkifli Abdullah diduga sekali lagi apabila kaki kanannya pula dipotong pada paras bawah lutut akibat menghidap diabetes kronik dan penyakit jantung.

Bergelut dengan dugaan demi dugaan, mualaf berusia 55 tahun yang menetap di Taman Politeknik, di sini, itu mengakui hidupnya ibarat jatuh ditimpa tangga.

Akibat kehilangan kaki kanannya, sukar bagi Muhammad Dzulkifli meneruskan kehidupan kerana tidak dapat keluar untuk mencari rezeki, apatah lagi dalam keadaan negara dilanda pandemik Covid-19.

"Dulu, saya bekerja kontrak sebagai tukang masak di hospital dekat Petaling Jaya, Selangor dan Putrajaya.

"Selepas tamat kontrak, saya bekerja pula di restoran dan akhir sekali sebagai pengawal keselamatan sebelum jatuh sakit pada 2018.

"Disebabkan penyakit itu, tahap kesihatan saya merosot hingga terpaksa berhenti kerja kerana hilang keupayaan fizikal selepas kaki dipotong," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Selepas dua tahun berlalu dan kini tidak dapat lagi dapat menjalani hidup normal seperti orang lain, Muhammad Dzulkifli amat berharap dapat melakukan sesuatu untuk mengubah nasib dirinya.

"Satu-satunya jalan keluar (dapat kembali berdikari), saya memerlukan kaki palsu untuk kaki kanan supaya dapat berjalan seperti dulu.

"Saya berharap ada yang sudi sumbangkan kaki palsu supaya saya dapat berdikari dan mencari rezeki seperti dulu," katanya.

Muhammad Dzulkifli yang memeluk Islam secara rasmi pada 2003 berkata, buat masa ini, dia menetap dengan anak ketiganya, Siti Solehah, 20.

Katanya, Siti Solehah yang membantu menguruskannya termasuk dalam menjaga makan minum serta menyediakan keperluan harian.

"Ketiadaan sebelah kaki menyebabkan pergerakan saya terbatas.

"Keadaan saya menyebabkan Siti Solehah tidak dapat bekerja kerana perlu menjaga dan menguruskan saya.

"Kasihan juga dengannya dan disebabkan itu, saya mahu kaki palsu supaya dapat kembali bekerja serta tidak membebankannya memandangkan belum menerima bantuan daripada mana-mana agensi setakat ini," katanya yang menjalani pemeriksaan kesihatan di Klinik Kesihatan Pasir Panjang, di sini.

Sementara itu, Pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Kebajikan My Kasih Care, Syed Shukri Nizam Jaafar berkata, pihaknya ada menyampaikan sumbangan kerusi roda dan barangan keperluan ketika mengadakan kunjungan ke rumah Muhammad Dzulkifli baru-baru ini.

"Selepas menerima maklumat mengenai Muhammad Dzulkifli, saya datang menziarahinya untuk melihat keadaan sebenar.

"Dalam pertemuan singkat itu, saya ambil kesempatan menyampaikan bantuan kerusi roda bagi menggantikan yang sudah uzur untuk kemudahannya serta barangan dapur untuk menampung keperluannya.

"Maklumat berkaitannya sudah diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal untuk tindakan lanjut," katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu Muhammad Dzulkifli boleh menghubunginya di talian 018-9896059.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 9:12 PM