PERKONGSIAN video ibu Fifi Ariyani, Harleni menaiki ambulans KKM untuk dibawa ke hospital menjadi rakaman terakhir buat tatapan keluarganya. FOTO ihsan Fifi Ariyani Rizal
PERKONGSIAN video ibu Fifi Ariyani, Harleni menaiki ambulans KKM untuk dibawa ke hospital menjadi rakaman terakhir buat tatapan keluarganya. FOTO ihsan Fifi Ariyani Rizal
Murnaena Muhammad Nasir


Kota Bharu: "Tidak pernah terlintas di fikiran, kami akan kehilangan ahli keluarga disebabkan wabak Covid-19 sehinggakan tiada peluang menatap wajahnya buat kali terakhir," kata ibu empat anak, Fifi Ariyani Rizal.

Fifi Ariyani, 32, berkata, dia kehilangan ibu, Harleni Ishar, 63, akibat jangkitan Covid-19 selepas bertarung nyawa selama 10 hari di Hospital Tumpat, Kelantan pada 4 Mei lalu.

"Kali terakhir berjumpa arwah adalah pada 14 April iaitu hari kami sekeluarga perlu menjalani 'swab test' selepas kakak ipar, Nur Ain Che Muda, 32, yang juga seorang doktor di klinik swasta dijangkiti Covid-19.

"Selain arwah ibu, tiga lagi positif dalam ahli keluarga iaitu ayah dan anak kakak ipar yang berusia enam tahun kerana tinggal serumah. Saya, suami dan anak-anak yang menjadi kontak rapat kepada arwah ibu negatif selepas dua kali 'swab test' dibuat," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, ibunya hanya mempunyai simptom hilang selera makan dan batuk pada penghujung kuarantin di rumah.

"Sejak dari hari 'swab test' itu, saya tidak berpeluang langsung melihat ibu kerana mematuhi arahan kuarantin di rumah oleh KKM bersama suami dan anak-anak.

"Lebih memberi kesan kepada kami apabila simptom virus menyerang arwah pada penghujung kuarantin di rumah iaitu hari kesembilan selepas 'swab test' pertama," katanya.

Menurutnya, ibunya mendapat rawatan di Hospital Tumpat pada 25 April iaitu sejurus selepas kakak iparnya dibenarkan keluar di Hospital Kota Bharu disebabkan mengalami keguguran pada usia kandungan 15 minggu.

"Pada awalnya, kami ingat ujian keluarga setakat itu saja, tetapi siapa sangka kami kehilangan sebutir permata dengan tiba-tiba dan tidak pernah terlintas di fikiran kehilangan melalui wabak ini.

"Walaupun sangat pahit untuk menerimanya namun kami reda dengan ketentuan Ilahi dan berharap perkongsian saya itu menjadi iktibar dan pengajaran kepada masyarakat lain," katanya.

Fifi Ariyani berkata, sebelum pemergian ibunya, keluarganya sempat membuat panggilan video dibantu petugas hospital.

"Sebaik dimaklumkan pemergian ibu, ayah antara yang paling sedih sekali sehingga terduduk tetapi dia juga antara orang yang terkuat menerima takdir ini dan selalu pesan pada kami adik-beradik supaya reda.

"Abang dan adik yang berada di Shah Alam juga mendapat kebenaran rentas negeri dan turut membuat 'swab test' terlebih dulu sebelum pulang ke sini dan juga selepas balik semula ke Shah Alam sebagai langkah berjaga-jaga," katanya.

FIFI Ariyani hanya dapat melihat dari jarak yang jauh proses pengebumian ibunya yang meninggal dunia akibat wabak Covid-19. FOTO ihsan Fifi Ariyani Rizal
FIFI Ariyani hanya dapat melihat dari jarak yang jauh proses pengebumian ibunya yang meninggal dunia akibat wabak Covid-19. FOTO ihsan Fifi Ariyani Rizal

Menurutnya, abangnya, Ibnu Aulia Ramdani, 34, adiknya, Mohammad Arief Rahman, 27, dan bapanya diberi peluang turut serta dalam proses pengebumian arwah dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Saya dan keluarga yang lain hanya dapat melihat dari dalam kereta ketika arwah ibu dikebumikan, perasaan ketika itu hanya Allah yang tahu betapa sedihnya dengan situasi yang terpaksa kami hadapi," katanya.

Terdahulu, perkongsiannya di Facebook mengenai video terakhir ibunya sebelum dibawa ke hospital untuk menjalani rawatan Covid-19 tular di media sosial sehingga ditonton lebih 500,000 kali setakat ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Mei 2021 @ 8:16 PM