Mohd Amin Jalil


Seremban: "Saya sudah beri kerjasama kepada pihak polis." Itu jawapan ringkas diberikan usahawan dan selebriti popular, Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa yang ditemui ketika hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, di sini, pagi ini.

Dia tampil bersama suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz di IPD Seremban bagi memberi keterangan berkaitan tindakan mengenakan niqab tanpa memakai pelitup muka.

Kesalahan didakwa dilakukannya ketika hadir pada prosiding di Mahkamah Majistret Seremban, Khamis lalu, bagi pertuduhan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan berada di premis menjual karpet di Nilai 3, Nilai, dekat sini, pada 2 Mei lalu.

Neelofa, 32, tiba bersama PU Riz, 26, pada jam 10 pagi dengan menaiki BWM berwarna biru dan berada selama kira-kira sejam di IPD berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, polis memanggil Neelofa untuk memberikan keterangan berhubung siasatan berkaitan pemakaian pelitup muka.

NEELOFA dan Muhammad Haris selesai memberikan keterangan berhubung dakwaan melanggar SOP.  FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
NEELOFA dan Muhammad Haris selesai memberikan keterangan berhubung dakwaan melanggar SOP. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

Beliau berkata, Neelofa tiba bersama suaminya pada jam lebih kurang 10.10 pagi.

"Beliau hadir bersama suaminya dan dua peguam. Keterangan diambil bermula jam 10.20 pagi dan selesai pada 11.30 pagi.

"Sepanjang proses siasatan dijalankan Neelofa memberikan kerjasama yang baik dan mematuhi SOP Covid-19 yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jumaat lalu, Mohd Said dalam satu kenyataan berkata, pihaknya membuka satu kertas siasatan terhadap Neelofa yang mengenakan niqab tanpa memakai pelitup muka.

Katanya, polis menerima satu laporan mengenai tindakan Neelofa tidak mematuhi SOP berkaitan pemakaian pelitup muka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 1:05 PM