MOHD Sharkar (kiri) memberi kata-kata semangat kepada Nurfitrah (kanan) sambil diperhatikan Jamilah dan anak tunggal mangsa di Felda Bukit Damar, Lanchang, hari ini. FOTO ROSELAN AB MALEK
MOHD Sharkar (kiri) memberi kata-kata semangat kepada Nurfitrah (kanan) sambil diperhatikan Jamilah dan anak tunggal mangsa di Felda Bukit Damar, Lanchang, hari ini. FOTO ROSELAN AB MALEK
Roselan Ab Malek


Temerloh: "Suami ada menyatakan hasrat untuk membawa kami tinggal di Sibu, Sarawak selepas Aidilfitri ini, tetapi hasrat kami tidak kesampaian," kata Nurfitrah Ramli, hari ini.

Nurfitrah, 24, adalah isteri kepada Allahyarham Konstabel Norhalim Tumiran, 25, yang mati tertembak dalam kejadian di Sibu, Sarawak, Khamis lalu.

Nurfitrah berkata, pada hari kejadian beliau ada menelefon arwah suaminya lebih 50 kali, tetapi tidak diangkat dan keadaan itu menimbulkan tanda tanya kepadanya.

"Saya gusar dan mula memikirkan perkara tidak baik berlaku kerana biasanya suami akan menjawab panggilan walaupun ketika bertugas.

"Kemudian saya mendapat panggilan daripada rakannya memaklumkan kejadian tragis itu pada 8 malam.

"Saya amat terkejut mendengar berita tidak diduga itu dan hampir pengsan apabila kehilangan orang tersayang di bulan Ramadan ini," katanya ketika dikunjungi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lanchang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin, hari ini.

Beliau berkata, suami baharu dua bulan bertugas di Ibu Pejabat Polis (IPD) Sibu selepas menamatkan kursus kepolisan di Pusat Latihan Polis Segamat.

Menurutnya, selama enam bulan suaminya berkursus, mereka tidak pernah bertemu kerana halangan pandemik Covid-19.

"Kami hanya dapat berjumpa dalam tempoh sejam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum dia berangkat ke Sarawak.

"Dalam tempoh sejam itu, kami melepaskan rindu dan dia dapat menatap wajah anak perempuan kami, NurAlisya, berusia setahun dua bulan buat kali terakhir," katanya yang tinggal bersama ibunya di Felda Bukit Damar, Lanchang,

Dalam kejadian 7.30 malam Khamis lalu, Norhalim maut kerana terkena tembakan di sebuah rumah sewa di Sibu.

Siasatan awal polis mendapati seorang rakan mangsa dikatakan bergurau dengan mengacukan pistol ke arahnya sebelum tertekan picu dan tertembak ke arah sebelah kanan kepala menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Ibu mangsa, Jamilah Daman, 60, berkata, Norhalim adalah anak bongsu daripada tiga beradik dan sangat berminat menjadi anggota polis sejak kecil.

"Nampaknya cita-citanya tercapai, tetapi sayangnya hayatnya dalam kerjaya itu hanya sekejap berikutan kematiannya tidak diduga itu.

"Walaupun sedih, kami reda dengan ketentuan Ilahi," katanya.

Sementara itu, Mohd Sharkar mencadangkan kerajaan menyediakan skim pencen kepada balu bagi membiayai dan membesarkan anak tunggal pasangan itu.

Jenazah Norhalim dijangka tiba tengah malam ini sebelum dibawa pulang ke Felda Bukit Damar, Lanchang.

Berita berkaitan

'Jenazah konstabel Norhalim dihantar pulang hari ini'

'Konstabel maut tertembak: 3 rakan direman'

'Konstabel maut tertembak di kepala'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 6:21 PM