GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kangar: Kesedihan tidak dapat beraya bersama anak-anak bukan satu perkara besar bagi kebanyakan ibu bapa di negeri ini namun apa yang lebih menggusarkan mereka adalah risiko jangkitan wabak Covid-19 jika semua orang dibenarkan rentas negeri bersempena cuti Aidilfitri.

Rata-rata mereka gusar kepulangan anak mereka nanti meningkatkan risiko kebolehjangkitan virus tersebut kepada orang lain terutama warga emas dan kumpulan berisiko lain.

Suri rumah Lebar Jaafar, 71, dari Beseri berkata, beliau reda anak-anak tidak dapat pulang beraya tahun ini daripada mereka menjadi penyebab kepada penyebaran wabak berkenaan ke negeri ini.

"Atas hakikat ini mak cik sanggup tidak mahu lihat anak menantu dan cucu pulang ke kampung jika kepulangan mereka membawa virus penyakit berbahaya itu," katanya.

Ibu kepada dua anak lelaki dan perempuan yang bekerja di Kuala Lumpur itu berkata, beliau akur dan maklum bahawa tempat tinggal anaknya itu berisiko dan mempunyai bilangan kes positif Covid-19 yang tinggi.

Berkongsi pendapat sama Idrus Md Jasin, 73, berkata, beliau tidak rasa terkilan, malah memahami anak dan cucunya di Selangor tidak dapat beraya di kampung sejak Aidilfitiri 2020 kerana akur dengan ketetapan kerajaan melarang rentas negeri.

"Pak cik harap anak pak cik dapat memahami hakikat tersebut dan kekal tinggal di rumah mereka untuk sambut lebaran kerana Selangor sekian lama mencatat jumlah kes harian Covid-19 tertinggi," ujarnya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 8:15 AM