GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Semua sekolah di Selangor ditutup bermula esok sehingga cuti Aidilfitri bagi mengurangkan pergerakan dalam komuniti berikutan peningkatan kes Covid-19 di negeri itu.

Dalam satu pekeliling dikeluarkan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Pengarahnya, Izmi Ismail memaklumkan, penutupan sekolah dibuat selepas mengambil kira sesi persekolahan secara bersemuka hanya berbaki dua hari iaitu 6 dan 7 Mei.

"Penutupan sekolah ini akan berterusan sehingga cuti Aidilfitri seperti mana diumumkan KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) pada 26 April lalu.

"Pergerakan pulang murid asrama sempena cuti Aidilfitri 2021 seperti dijadualkan pihak sekolah.

"Bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan murid dan ibu bapa atau penjaga, sekolah perlu mengekalkan jadual pergerakan pulang ditetapkan," kata pekeliling yang tular khusus untuk semua Pegawai Pendidikan Daerah di negeri itu, hari ini.

Izmi berkata, Pejabat Pendidikan Daerah perlu memastikan guru dapat melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berdasarkan kesesuaian dan keupayaan akses komunikasi murid sepanjang tempoh penutupan sekolah.

Bermula esok, enam daripada sembilan daerah di Selangor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 17 Mei ini.

Pengumuman itu dibuat Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam dan ia membabitkan enam daerah iaitu Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang yang mencatatkan peningkatan kes Covid-19.

Tiga daerah lagi iaitu Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor masih berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Mei 2021 @ 4:09 PM