OKU Sindrom Down, Muhammad Luqman rajin membantu ibunya memasak di dapur.
OKU Sindrom Down, Muhammad Luqman rajin membantu ibunya memasak di dapur.
Redzuan Muharam


Bukit Mertajam: Zahirnya, Muhamad Luqman Nazim Muhamad Fadzli mempunyai kekurangan berbanding individu lain berikutan status dirinya sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) kategori sindrom down sejak lahir.

Namun, pemuda berusia 17 tahun yang juga anak sulung daripada empat beradik itu tetap penyeri hidup bagi ibu, Farah Nazim Bulya Nazim, 42 dan bapanya, Muhamad Fadzli Abdullah, 45.

Terbaru, ibunya memuat naik satu videonya menyediakan juadah di dapur bersama anaknya itu di laman Facebook (Fb) Masak Apa Hari Ni (MAHN) dan keletahnya itu mencuit hati warganet yang rata-ratanya terhibur melihat gelagat Muhamad Luqman beraksi seperti seorang cef profesional mengendalikan program memasak.

Berkongsi kisah di sebalik video itu, Farah Nazim yang menetap di Permatang Pauh, di sini berkata, video itu dirakam untuk dihantar kepada guru pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kampung Pertama yang memberi tugasan untuk setiap pelajar berkongsi aktiviti ketika di rumah.

"Niat saya memuat naiknya di Fb sekadar berkongsi khususnya dengan ibu bapa yang senasib tetapi tak sangka pula ia mendapat perhatian ramai.

"Sebenarnya, dia (Muhammad Luqman) tidak pandai memasak tetapi tahu sebahagian bahan digunakan jadi saya mengajaknya melakukan aktiviti memasak di dapur kerana mahu beri pendedahan kepadanya.

"Lagipun, dia ada kelebihan iaitu pandai bercakap dan yakin ketika di depan kamera mungkin kerana pernah menyertai pertandingan tilawah Al-Quran serta membuat persembahan nyanyian juga bersajak," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

MUHAMMAD Luqman membuat persembahan nyanyian. Gambar kanan, Muhammad Luqman bersama keluarganya. FOTO Ihsan Farah Bulya Nazim
MUHAMMAD Luqman membuat persembahan nyanyian. Gambar kanan, Muhammad Luqman bersama keluarganya. FOTO Ihsan Farah Bulya Nazim

Menurut Farah Nazim, sejak awal Ramadan, Muhammad Luqman rajin membantunya di dapur untuk menyediakan juadah berbuka puasa.

Katanya, pelbagai resipi disediakan mereka bersama antaranya ayam masak merah, ikan siakap masak Jawa dan sotong goreng kunyit .

"Saya ada kongsikan video Muhammad Luqman sejak usianya sembilan tahun tetapi setakat untuk tontonan ahli kumpulan Persatuan Bunga-Bunga Syurga (BBS) Sindrom Down Malaysia saja .

"Baru kini, saya mengetengahkannya dan saya suka pendekatan itu kerana ia boleh meningkatkan keyakinannya.

"Jujurnya, bukan mudah untuk saya menerima ujian diberi anak sulung istimewa tetapi sebagai ibu, saya cuba jalankan tanggungjawab dan amanah Allah dengan sebaiknya bersama suami," katanya.

Sementara itu, suaminya, Muhamad Fadzli Abdullah berkata, keadaan Muhammad Luqman kini jauh lebih baik berbanding dulu.

"Dulu, dia ada masalah injap sempit, jantung berlubang tetapi sudah pulih selepas pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN).

"Tumbesarannya juga bukan seperti kanak-kanak lain kerana tidak dapat berjalan sehingga berumur tujuh tahun.

"Pada usianya lapan tahun, dia baru mula bertatih sebelum dapat berjalan seperti sekarang.

"Saya dan isteri menerima ketentuan Allah SWT malah menyokong minatnya termasuk dalam bidang nyanyian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Mei 2021 @ 8:50 PM