BERADA di Kuala Lumpur kerana tuntutan kerja sejak Julai lalu dan sukar pulang ke Singapura kerana banyak prosedur perlu dipatuhi ekoran pandemik Covid-19.
BERADA di Kuala Lumpur kerana tuntutan kerja sejak Julai lalu dan sukar pulang ke Singapura kerana banyak prosedur perlu dipatuhi ekoran pandemik Covid-19.
Syafil Syazwan Jefri


BERJAUHAN dari keluarga menjadi pengorbanan besar buat pelakon, Hisyam Hamid. Demi tuntutan kerja dan mencari rezeki, Hisyam terpisah dengan isteri serta anak-anaknya yang kini berada di Singapura.

Sedikit sebanyak, pandemik Covid-19 serta peningkatan jumlah kes baharu nampaknya tidak memberi sinar dan membawa harapan buatnya untuk pulang bertemu keluarga dalam masa terdekat.

"Saya kembali ke Malaysia untuk menyambung urusan kerja sejak 8 Julai tahun lalu dan bermula dari tarikh itu saya terpisah dengan anak-anak. Isteri saya ada ke sini pada November lalu, namun sekejap saja," katanya.

Menurutnya, banyak prosedur yang perlu dipatuhi sekiranya dia ingin pulang ke Singapura dan memerlukan kos yang

agak tinggi.

"Sebelum ini, kerajaan Singapura membenarkan kemasukan dari Malaysia dengan kuarantin di rumah selama 10 hari. Tapi, apabila jumlah kes jangkitan baharu di Malaysia semakin meningkat, peraturan ditukar.

"Setiap individu yang masuk dari Malaysia perlu menjalani kuarantin di hotel selama dua minggu dan perlu membayar kos sebanyak SGD2,000 (RM6,193.20). Jadi, saya berbincang dengan isteri dan akan menetap di sini untuk selesaikan kerja-kerja lakonan dahulu," katanya.

Walaupun dipisah oleh jarak, Hisyam bersyukur kerana adanya teknologi yang sentiasa mendekatkan mereka sekeluarga terutama dengan dua cahaya matanya, Nurish Syameliah dan Haydeen.

HISYAM terpaksa berjauhan dari keluarga.
HISYAM terpaksa berjauhan dari keluarga.

"Setiap hari, saya akan menghubungi anak-anak menerusi panggilan video. Kadang-kadang, dalam sehari boleh sampai tiga hingga empat kali kami akan buat panggilan video.

"Apa-apa perkembangan, kami akan kongsikan dan berhubung dalam 'group' WhatsApp keluarga," katanya.

Anak keduanya, Haydeen antara yang paling kerap bertanya, bila dia akan kembali ke Singapura.

"Kalau si kakak, dia dah faham sebab dah besar. Adiknya, paling kerap tanya bila saya nak balik. Dalam bulan pertama sampai bulan ketiga saya kembali ke sini, memang soalan itu sentiasa meniti di bibirnya.

"Saya pada awalnya merancang nak pulang ke Singapura pada bulan ini, namun bila saya terima tawaran untuk berlakon dalam drama terbaharu, Cukup Deritaku, penggambarannya mungkin akan berjalan sampai Jun.

"Haydeen pun dah sampai suruh saya balik saja tahun depan. Biasalah, merajuk-merajuk manja. Tapi, saya tahu dia rindukan saya. Tapi, demi kerja, kami sekeluarga kena berkorbanlah sikit," katanya.

Ditanya mengenai persiapan Aidilfitri, Hisyam mengakui dia belum merancang apa-apa.

"Kalau saya beraya di sini, ini adalah kali pertama saya akan menyambut Aidilfitri pertama dengan ayah saya sebab dia menetap di Shah Alam. Selalunya, saya akan menyambut Aidilfitri pertama bersama ibu di Singapura.

"Paling tidak pun, kalau boleh saya nak berehat sebentar, cari tempat yang ada pantai untuk menenangkan fikiran," katanya.

Kembali berlakon drama di TV3

Terbaharu, Hisyam masih lagi menjalani penggambaran drama Cukup Deritaku arahan pengarah, Along Kamaludin.

"Dalam drama ini, saya bergandingan dengan Ruhainies. Ini adalah kali pertama saya bergandingan dengannya dan kembali ke TV3, selepas enam tahun tidak membintangi drama dari stesen ini.

"Kali terakhir saya berlakon dalam drama untuk tayangan TV3 adalah Ariana Rose yang ditayangkan pada 2013 hingga 2014," katanya.

HISYAM kini bergandingan dengan Ruhainies dalam drama Cukup Deritaku.
HISYAM kini bergandingan dengan Ruhainies dalam drama Cukup Deritaku.

Datang semula ke tempat dia bertatih sebagai pelakon, Hisyam mengharapkan agar karya lakonannya sebanyak 40 episod yang bakal ditayang di slot Samarinda bermula 6 Mei ini akan diterima baik oleh penonton drama tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 7:00 AM