GAMBAR perkahwinan Mohamad Haniff dan arwah isterinya,  Aida Afiqah. FOTO Ihsan Mohamad Haniff Azizan
GAMBAR perkahwinan Mohamad Haniff dan arwah isterinya, Aida Afiqah. FOTO Ihsan Mohamad Haniff Azizan
Redzuan Muharam


Kepala Batas: Bercinta lima tahun tetapi hanya dapat menikmati hidup sebagai pasangan suami isteri untuk empat bulan saja.

Malah, impian mereka untuk menyambut Aidilfitri buat kali pertama sebagai pasangan suami isteri juga tidak kesampaian apabila salah seorangnya dijemput Ilahi.

Itu takdir yang harus diterima Mohamad Haniff Azizan, 26 selepas isterinya, Aida Afiqah Khozari, 24 meninggal dunia akibat barah usus tahap empat, Ahad lalu.

Aida Afiqah menghembuskan nafas terakhirnya di wad Hospital Bukit Mertajam, di sini kira-kira 1 pagi di sisi Mohamad Haniff dan ibu tercinta, Salnarila Ahmad, 46.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Dato' Sheikh Adnan Penaga, jam 11 pagi hari yang sama.

Menurut Mohamad Haniff, dia reda dengan ketentuan itu namun masih menganggap apa yang berlaku seperti mimpi kerana baru empat bulan berumah tangga dengan isterinya tetapi ajal memisahkan mereka berdua.

"Kami merancang berkahwin pada 1 Januari tahun depan tetapi mempercepatkan tarikh perkahwinan iaitu pada 30 Disember lalu kerana sudah bersedia dari segi kewangan.

"Selepas berkahwin, arwah isteri ada mengadu sakit perut dan saya membawanya ke hospital untuk membuat pemeriksaan sebelum diminta menjalankan ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) pada 8 Januari lalu.

"Tiga hari kemudian iaitu 11 Januari, kami dikejutkan dengan keputusan ujian yang mengesahkan arwah isteri menghidap barah usus tahap empat," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

MOHAMAD Haniff dan Aida Afiqah hanya sempat menjalani hidup sebagai pasangan suami isteri selama empat bulan saja. FOTO Ihsan Mohamad Haniff Azizan
MOHAMAD Haniff dan Aida Afiqah hanya sempat menjalani hidup sebagai pasangan suami isteri selama empat bulan saja. FOTO Ihsan Mohamad Haniff Azizan

Meskipun sedih, Mohamad Haniff reda dan terus memberi semangat kepada Aida Afiqah untuk menjalankan rawatan disyorkan doktor.

"Sehari selepas menerima keputusan itu, arwah isteri saya menjalani pembedahan menebuk lubang bagi memudahkannya membuang najis menerusi bag stoma.

"Kemudian, arwah isteri menjalani lima sesi rawatan radioterapi bermula 5 hingga 10 Februari di Gleneagles Hospital Pulau Pinang.

"Ia diikuti dengan tiga sesi rawatan kemoterapi di Hospital Pulai Pinang bermula 2, 23 Mac serta 13 April lalu," katanya yang berkhidmat anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak lima tahun lalu dan kini bertugas di Kem Sungai Layar, Sungai Petani, Kedah.

Menurut Mohamad Haniff, arwah isterinya menunjukkan perubahan positif apabila kelihatan sihat, boleh memasak dan mengemas rumah sebelum menjalani rawatan kemoterapi kali kedua.

Namun, keadaan itu hanya sementara apabila Aida Afiqah mengalami sesak nafas dan dimasukkan ke Hospital Kepala Batas pada 24 April kira-kira 12.30 tengah malam.

"Keadaannya nampak stabil pada mulanya tetapi dia dipindahkan ke Hospital Bukit Mertajam apabila doktor mendapati ada jangkitan pada paru-parunya serta sel barah yang merebak.

"Ketika itu, arwah isteri sempat bertemu dengan ahli keluarganya dan ada beritahu saya dia tidak larat serta mahu pulang ke rumah tetapi saya memintanya bertenang.

"Namun, Allah SWT lebih menyayanginya apabila meninggal dunia pada awal pagi sehari selepas dimasukkan ke hospital. Sedih tetapi saya lega kerana dia sempat menyebut kalimah Allah sebelum pergi," katanya.

MOHAMAD Haniff turut sama mengangkat jenazah isterinya. FOTO Ihsan Mohamad Haniff Azizan
MOHAMAD Haniff turut sama mengangkat jenazah isterinya. FOTO Ihsan Mohamad Haniff Azizan

Mohamad Haniff berkata, niatnya berkongsi kisah itu di Facebook (Fb) sekadar untuk meluahkan perasaannnya yang sedih dengan kehilangan isteri tercinta.

"Tak sangka pula kisah itu tular dan sehingga kini, saya masih sedih tetapi sedikit lega apabila melihat ramai orang mendoakannya di ruangan komen.

"Terima kasih kepada semua yang mendoakan dan saya akan cuba menunaikan amanat arwah iaitu menjaga ibu bapanya selepas dia tiada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 9:16 PM