FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang: Suami isteri yang juga pemilik pusat tahfiz Taman Tun Abdul Razak, di sini, ditahan polis semalam selepas didakwa terbabit dalam kes penderaan terhadap pelajarnya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, semuanya bermula apabila ibu mangsa yang bekerja sebagai penghantar barang berusia 35 tahun pergi ke sekolah anaknya jam 6.30 petang 23 April lalu untuk membayar yuran dan berjumpa anak lelakinya berusia lapan tahun.

Menurutnya, ketika itu dia mendapati mangsa berada dalam keadaan ketakutan dan menangis sambil memeluknya sebelum memberitahu tidak mahu bersekolah di situ lagi.

"Selepas berbuka dia membawa anaknya balik ke rumah. Anak lelakinya kemudian memberitahu suspek lelaki ada tumbuk belakang tengkuknya, pukul dengan rotan di kaki dan tangan.

"Manakala suspek kedua (isteri) pula ada tampar pipinya sebanyak empat kali. Susulan itu ibu mangsa tampil membuat laporan polis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata, bertindak atas maklumat, polis menahan suspek di pusat tahfiz terbabit jam 3.45 petang semalam dan menyelamatkna lapan pelajar lelaki berusia 17 hingga 15 tahun yang turut mendakwa didera.

"Semua mangsa dihantar ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan lanjut. Hasil siasatan mendapati anaknya mengalami kesan kecederaan baru dan lama pada keseluruhan badannya.

"Semakan awal juga dapati pusat tahfiz itu tidak mempunyai sebarang lesen dari kerajaan tempatan dan kebenaran dari Jabatan Agama Islam Selangor (Jais)," katanya.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1) (a)Akta Kanak-Kanak 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 1:37 PM