GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Agensi

Kaherah: Tugas imam memimpin jemaah ketika ibadah solat dan mendoakan kesejahteraan ummah, namun seorang wanita Mesir mengambil kesempatan di atas keluhuran pemimpin itu demi kepentingan peribadinya.

Wanita itu meminta seorang imam sebuah masjid di Iskandariah supaya mendoakan suaminya yang berkahwin lagi malah menawarkan 100 pound Mesir (RM26.17) atau lebih sebagai ganjaran.

Media tempatan yang dipetik Gulf News melaporkan, kejadian berlaku ketika imam terbabit memimpin solat Tarawih.

Beliau didatangi seorang kanak-kanak yang membawa nota mengandungi mesej ibunya berbunyi, "Saya mendengar suara awak ketika solat. Suara awak sangat merdu dan mendayu, seperti Allah SWT akan mendengar doa awak.

"Suami saya telah mengahwini wanita lain. Tolong doakan sesuatu yang buruk menimpanya dari lubuk hati awak. Saya beri awak 100 pound Mesir dan semakin banyak awak mendoakan dia, lebih banyak wang awak akan terima."

Bagaimanapun, tindakan wanita itu hanya mengundang rasa kurang senang imam berkenaan yang kemudian mengambil gambar nota pesanan terbabit dan memuat naik di Facebook miliknya, sebelum ia tular.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 6:30 AM