SEJAK 2018 sehingga kini lima gajah mati disyaki diracun dan empat gajah mati dilanggar kenderaan di Jalan Kota Tinggi-Mersing.
SEJAK 2018 sehingga kini lima gajah mati disyaki diracun dan empat gajah mati dilanggar kenderaan di Jalan Kota Tinggi-Mersing.
Mary Victoria Dass dan Mohd Fahd Rahmat

Johor Bahru: Sejumlah RM4.4 juta kerugian dicatat selain menyebabkan lima kematian serta dua kecederaan dilaporkan dalam tempoh empat tahun lalu akibat konflik di antara gajah dan manusia di Johor.

Tidak dinafikan keperluan gajah untuk mencari dan mendapatkan makanan meningkat kebelakangan ini menyebabkan haiwan itu terpaksa merentasi penempatan atau muncul dalam kalangan manusia.

Ia berikutan kebanyakan kawasan keliaran gajah asal banyak yang sudah diterokai menjadi kawasan pertanian, sekali gus mengganggu habitat 'pak belalai' itu.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) Johor, Salman Saaban berkata, lokasi terkenal habitat gajah di Johor adalah di Taman Negara Endau-Rompin serta gugusan Hutan Simpan Labis, Hutan Simpan Mersing, Hutan Simpan Lenggor, Hutan Simpan Sedili, Hutan Simpan Panti dan Hutan Simpan Seluyut.

Katanya, secara purata, Perhilitan Johor menerima 100 aduan dengan anggaran kerugian sebanyak RM1.1 juta setahun.

"Kebanyakan aduan diterima ialah gajah memasuki ladang kelapa sawit serta memakan anak pokok yang baru ditanam atau ditanam semula," katanya.

Salman berkata, dalam empat tahun lalu sebanyak lima kes kematian dan dua kes kecederaan manusia dilaporkan yang membabitkan serangan gajah di Johor.

Menurutnya, sikap orang ramai cuba bertindak sendiri atau berlagak berani ketika terserempak dengan gajah mengundang musibah.

Beliau berkata, cara terbaik adalah dengan menjauhkan diri serta-merta dan tidak cuba memprovokasi gajah itu.

Menurutnya, gajah tidak akan menyerang manusia jika ia tidak diganggu atau tidak rasa diancam.

"Jika mengambil gambar, pastikan jarak yang selamat dan elakkan menggunakan lampu flash kerana ia akan menarik perhatian gajah yang mungkin akan menyerang.

"Jika terserempak gajah menyeberangi jalan, orang ramai dinasihat memberi laluan kepadanya untuk melintas dengan selamat dan jangan cuba hampiri walaupun berada di dalam kenderaan," katanya.

Salman berkata, pelbagai usaha dijalankan pihak kerajaan menerusi Jabatan Perhilitan bagi menangani isu itu termasuk pemantauan atau kawalan, terutamanya pada waktu malam bagi menghalau kumpulan gajah yang memasuki kawasan pertanian atau perkampungan untuk kembali semula ke dalam habitat asal.

Menurutnya, selain itu operasi tangkap dan pindah gajah juga kadang-kadang terpaksa dilakukan sebagai langkah terakhir jika situasi memerlukan dan keadaan selamat untuk dijalankan operasi.

"Khidmat nasihat dan perundingan juga sering dijalankan dengan pemilik ladang agar memasang serta menyelenggara pagar elektrik atau membina parit gajah di sekeliling tanah mereka bagi mengelakkan kemasukan gajah," katanya.


 KESAN kerosakan pagar akibat dilanggar seekor gajah  di padang boling padang  bersebelahan Stadium Bandar Penawar, Kota Tinggi.
KESAN kerosakan pagar akibat dilanggar seekor gajah di padang boling padang bersebelahan Stadium Bandar Penawar, Kota Tinggi.

Kawasan Konservasi Panti atasi konflik manusia, gajah

Johor Bahru: Jabatan Perhutanan Negeri Johor mencadangkan Hutan Simpan Panti seluas kira-kira 13,000 hektar dijadikan Kawasan Konservasi Panti bagi mengatasi konflik antara manusia dan gajah.

Pengarahnya, Datuk Salim Aman berkata, kewujudan kawasan terbabit merangkumi pusat konservasi, ekopelancongan dan pusat penyelidikan.

"Tiada pembalakan dan sepenuhnya dilindungi, kita akan bangunkan satu konsep taman negara, tetapi kita panggil Panti Conservation Area apabila ada pusat konservasi, ekopelancongan dan pusat penyelidikan.

"Cadangan itu belum diangkat kepada kerajaan negeri. Kita adakan pelan pembangunan dan saya sudah bentang kepada Jawatankuasa Daerah Kota Tinggi.

"Kalau kita tengok konflik di situ termasuk isu gajah, kehilangan habitat termasuk dakwaan Jabatan Hutan tak jaga, berlaku penebangan hutan di sana, tiada isu sebenarnya.

SEEKOR gajah memasuki kawasan Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang pada 9 April lalu.
SEEKOR gajah memasuki kawasan Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang pada 9 April lalu.

"Sebenarnya isu kehilangan habitat itu disebabkan oleh pertukaran daripada hutan kepada perladangan," katanya ketika ditemui.

Beliau berkata, berikutan kedudukan Hutan Simpan Panti yang berdekatan Singapura, kewujudan Kawasan Konservasi Panti nanti mampu menarik pelancong dari dalam dan luar negara.

"Kita cadangkan kepada kerajaan negeri untuk kekalkan Hutan Simpan Panti itu, tiada balak atau apa, sepenuhnya dilindungi.

"Kekalkan keseluruhan Hutan Panti sebagai kawasan konservasi dan ekopelancongan yang mempunyai tempat menarik termasuk Gunung Panti Kiri, Gunung Panti Timur.

"Sebab kita tahu Panti sangat dekat dengan Singapura, kerana mereka boleh balik hari, cuma kita kekalkan kawasan perlindungan di bawah Akta Perhutanan," katanya.


RAKAMAN video dua gajah liar  berkeliaran meluru ke gerai  buah-buahan di Batu Mawai, Kota Tinggi.
RAKAMAN video dua gajah liar berkeliaran meluru ke gerai buah-buahan di Batu Mawai, Kota Tinggi.

'Dah lapan kali masuk kedai'

Kota Tinggi: "Kami masih trauma dengan kejadian itu," kata seorang wanita yang dikenali sebagai Adibah, 34, berhubung kejadian menimpa bapa saudaranya pada Julai tahun lalu apabila maut kerana amukan gajah di Mawai di sini.

Menurutnya, biarpun menerima insiden itu sebagai suratan takdir, keluarganya berharap ia tidak berulang.

"Kami faham gajah berkenaan keluar mencari makanan dan apabila ia terserempak dengan manusia, apa saja boleh berlaku.

"Kami hanya berharap sistem pencahayaan di laluan berhampiran habitat gajah termasuk di Mawai dipertingkat demi keselamatan orang ramai.

"Sesetengah kawasan masih dalam keadaan gelap dan ia membahayakan orang ramai terutama pada waktu malam hingga awal pagi," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, seorang pembantu kedai buah-buahan di laluan Kota Tinggi-Mersing, F Allan, 30, berkata dalam tempoh masa dua tahun bekerja, sudah tujuh hingga lapan kali gajah memasuki kedai menyebabkan majikannya terpaksa menanggung kerugian apabila gajah merosakkan barangan niaga.

"Baru-baru ini ada gajah cuba memasuki kedai, tetapi gagal kerana ketinggiannya melebihi bumbung kedai iaitu kira-kira dua setengah meter.

"Akhirnya ia menggunakan belalainya untuk mengambil buah-buahan termasuk tembikai dan tembikai susu.

"Kebiasaannya kami tidak berani mengambil sebarang tindakan dan membiarkan saja ia mengambil buah-buahan kerana mungkin ia lapar dan terdesak ke sini.

"Bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini kami tidak merakam gambarnya kerana pernah melihat ia mengejar individu yang merakam gambarnya," katanya ketika ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 12:00 PM