AWIE (kiri) bermesra dengan jemaah surau Kampung Al Falah selepas menunaikan solat sunat Tarawih. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
AWIE (kiri) bermesra dengan jemaah surau Kampung Al Falah selepas menunaikan solat sunat Tarawih. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


Hulu Terengganu: "Saya sangat teruja untuk menyambut Ramadan dan berpuasa pada tahun ini, maklumlah 20 tahun menjalani puasa di penjara," kata Awie, 50, (bukan nama sebenar) ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batu 24, di sini.

Awie berkata, dia bukan sahaja boleh berjemaah, malah diberi kepercayaan dan tugas sebagai bilal di Surau Al-Falah, Kampung Bukit Tok Bat sepanjang Ramadan.

"Alhamdulillah, saya berasa sangat seronok menyambut Ramadan kali ini bersama ahli keluarga dan paling gembira kerana dapat menunaikan solat sunat Tarawih bersama penduduk kampung.

"20 tahun saya menjalani hukuman penjara dan sepanjang Ramadan hanya menunaikan solat sunat Tarawih berseorangan di bilik pengasingan.

"Ramadan tahun lalu saya berbuka puasa, bersahur dan menunaikan solat sunat Tarawih di penjara tetapi siapa sangka pada tahun ini saya menjalani semua ibadat itu di samping keluarga," katanya yang sudah bertunang dengan seorang gadis dari Kampung Sekayu sejak beberapa bulan lalu.

Tambahnya, menunaikan puasa di penjara dan di rumah banyak bezanya.

"Kelebihan menunaikan puasa di penjara kerana saya mempunyai banyak masa terluang untuk membaca al-Quran sehingga mampu membaca lebih satu juzuk sehari.

"Lebih 160 kali saya khatam al-Quran sepanjang 20 tahun menjalani hukuman penjara tetapi sekarang masa perlu dibahagikan dengan seimbang mengikut tuntutan hidup

"Ramadan di penjara memang berbeza dan lebih berkualiti. Masa seharian dipenjara di habiskan dengan membaca al-Quran atau berzikir, manakala menu berbuka puasa paling istimewa di Penjara Marang ialah gulai ayam," katanya.

Menurutnya, dia bekerja sebagai tukang kebun di ladang durian milik rakannya di Bukit Diman, sejak akhir tahun lalu.

"Walaupun pendapatan diperoleh tidak seberapa tetapi tetap seronok dan wang gaji boleh disimpan untuk majlis perkahwinan pada Jun akan datang.

"Saya bersyukur kerana perjalanan hidup saya selepas dibebaskan daripada penjara dipermudahkan. Sebelum ini, berjaya memperoleh semua lesen memandu kenderaan dan sekarang sudah bertunang serta bakal mengakhiri zaman bujang tidak lama lagi," katanya.

Harian Metro sebelum pernah melaporkan anak kelahiran Kuala Berang itu menjalani hukuman penjara sepanjang hayat di bawah Seksyen 121 Kanun Keseksaan kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong ketika menyertai pergerakan Al-Ma'unah pada 2000.

Bagaimanapun pada 17 Ogos tahun lalu, Awie mendapat perkenan pengampunan Yang di-Pertuan Agong sekali gus dibenarkan bebas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 8:16 AM