GAMBAR hiasan. FOTO Faiz Anuar.
GAMBAR hiasan. FOTO Faiz Anuar.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Sejumlah 1,139 kes baharu Covid-19 dicatatkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia membabitkan 1,126 kes tempatan iaitu 1,001 warganegara dan 125 bukan warganegara dengan jumlah keseluruhan sebanyak 354,468 kes.

Katanya, sejumlah 1,199 kes sembuh direkodkan menjadikan jumlah kes sembuh keseluruhan 339,067 kes.

"Sarawak melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 332 kes. Daripada jumlah ini, sebanyak 276 kes adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

"Ini diikuti Selangor sebanyak 224 kes dan Johor sebanyak 102 kes," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, empat kes kematian dicatatkan pada hari ini dengan jumlah keseluruhan 1,304 kes kumulatif.

Menurutnya, semua kes kematian itu membabitkan warganegara Malaysia.

Katanya, sebanyak 194 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 86 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu beliau berkata, terdapat 10 kluster baharu yang dikenal pasti hari ini membabitkan enam kluster tempat kerja, dua kluster komuniti, serta masing-masing satu kluster pusat tahanan dan kluster import.

Kluster tempat kerja itu adalah Jalan Simpang Balak dan Jalan Keretapi di Selangor, Sungai Kluang Empat dan Jalan Benggali (Pulau Pinang), Jalan Bangunan Kerajaan (Sarawak) dan Persiaran Indahpura Utama di Johor.

Selain itu, Kluster Komuniti adalah di Sungai Kawi Sarawak dan Jalan Persiaran Putri di Johor.

Sementara, kluster Pusat Tahanan adalah di Tembok Choh Dua, Johor dan Kluster Import di Hihgline Johor.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 6:57 PM