PENGAWAL keselamatan memujuk pemuda yang dipercayai tertekan selepas putus cinta. FOTO ihsan @myJAWIKL
PENGAWAL keselamatan memujuk pemuda yang dipercayai tertekan selepas putus cinta. FOTO ihsan @myJAWIKL
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Seorang lelaki yang mengalami tekanan perasaan akibat putus cinta menyerbu masuk ke ruang majlis akad nikah di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sebelum menaiki pelamin kosong.

Perkara itu dikongsi menerusi Twitter rasmi agensi itu, @myJAWIKL berserta gambar seorang lelaki dan dua pengawal keselamatan yang seolah-olah memujuknya.

"Allahu. Ini kisah benar, bukan rekaan ataupun imaginasi novel cinta.

"Seorang pemuda tidak semena-mena, tidak berkasut, memasuki ruang majlis akad nikah di JAWI pagi ini, terus duduk di pelamin, berzikir dan mengaji dengan kuat," demikian ciapan agensi itu.

Menerusi bebenang ciapan yang sama, agensi itu memaklumkan pihak keselamatan dapat menangani masalah itu dengan baik.

"Syukur, pihak keselamatan dapat tangani dengan hikmah.

"Difahamkan pemuda ini mengalami tekanan perasaan akibat putus cinta.

"Kami doakan mudah-mudahan Allah berikan kesembuhan, jalan keluar, dan kemudahan kepada pemuda ini menghadapi ujian berat di dalam hidupnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 3:10 PM