Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


TERBABIT dalam lakonan seawal usia 16 tahun lagi menerusi pembabitan dalam teater Siti Di Alam Fantasi di Istana Budaya dan kemudiannya membintangi beberapa drama.

Namun, barangkali segelintir penonton hanya mengenali Muaz Fitri Maslan menerusi drama fenomena Takdir Yang Tertulis yang berakhir tayangannya di TV3 pertengahan Februari lalu.

Menerusi watak antagonisnya sebagai Hakim, pelakon berusia 30 tahun ini pantas menerima tempias populariti daripada peminat.

Pelakon yang juga tersenarai sebagai Top 20 Hero Remaja seangkatan Syafiq Kyle ini jujur mengakui nasib tidak menyebelahinya sebelum ini.

"Ikutkan saya pernah beberapa kali memegang watak utama dalam beberapa drama, namun karier sedikit malap apabila saya berdepan masalah berat badan yang naik mendadak satu ketika dulu.

"Saya faham yang industri sekarang lebih mementingkan penampilan, jadi saya berusaha untuk menurunkan berat badan dan mencari pihak pengurusan yang boleh menguruskan perjalanan karier saya. Ia kerana saya sedar yang saya tidak mahir dari segi mempromosikan diri di dalam media sosial," katanya.

MUAZ FITRI kini mampu tersenyum apabila semakin dikenali  oleh peminat.
MUAZ FITRI kini mampu tersenyum apabila semakin dikenali oleh peminat.

Berbanding pelakon seangkatannya, Muaz Fitri terpaksa mengakui melalui proses yang agak lama untuk dikenali ramai.

"Selepas 15 tahun dalam industri hiburan, barulah nama saya mula meniti di bibir penonton menerusi drama ini. Sampai sekarang penonton masih ingat saya dengan watak Hakim.

"Saya juga mendapat publisiti yang baik sejak berada bawah naungan RubberTapper Management. Saya juga menggunakan media sosial untuk berkongsi gambar dan video lama lakonan saya sebagai cara memperkenalkan diri kepada peminat," katanya.

Menurutnya, dia hampir patah semangat dalam lakonan satu ketika dulu apabila mengenangkan nasibnya.

"Tapi bila mengenang kembali kesungguhan ibu saya yang banyak menyokong saya dari dulu, saya kuatkan semangat dan cari jalan perbaiki apa kekurangan saya kerana saya berada dalam bidang ini atas pilihan sendiri.

"Hakim bukanlah watak antagonis pertama lakonan saya kerana saya pernah bawa watak begini dalam drama Lara Syakila. Ada juga yang kenal saya dengan watak lembut dalam Misiku Kuza, namun selepas itu saya menghilangkan diri beberapa ketika untuk proses menurunkan berat badan," katanya.

MENGELUARKAN pakaian jenama sendiri sebagai jaminan masa depan.
MENGELUARKAN pakaian jenama sendiri sebagai jaminan masa depan.

Apabila tampil semula dengan gaya yang baharu, peminat dan rakan-rakan industri kurang mengenalinya.

"Syukur, bukan mudah untuk menjalani uji bakat berlakon dengan mana-mana produksi dan meyakinkan penerbit dan juga pengarah seperti Radius One.

"Sebelum ini saya pernah berlakon di bawah arahan Shahrulezad Mohameddin dalam Cari Aku Di Syurga bersama Janna Nick dan Aeril Zafrel.

"Saya kini sedang sibuk di lokasi penggambaran Duit untuk Astro First dan juga Fattah Fatonah untuk siaran RTM," katanya.

Dalam perkembangan lain, dia juga berniaga pakaian jenamanya sendiri Qarizh by Muazfitri yang diusahakan bersama rakannya Bella.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 6:00 AM