Gambar fail Bernama
Gambar fail Bernama
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Negara merekodkan 1,063 kes baharu positif Covid-19 hari ini, iaitu jangkitan harian terendah sejak awal Januari lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan sejumlah 326,034 kes kumulatif Covid-19 di Malaysia dan kes aktif sebanyak 15,204.

Menurutnya, daripada keseluruhan kes baharu itu, hanya empat kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, manakala selebihnya kes penularan tempatan membabitkan 814 warganegara dan 245 bukan warganegara.

"Daripada jumlah itu, Selangor merekodkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 323 kes, diikuti Sarawak (183), Pulau Pinang (175), Johor (91) dan Kuala Lumpur (86).

"Selain itu, lapan kes dilaporkan pula berkaitan kluster di penjara iaitu Kluster Tembok Pengkalan Chepa (5 kes) dan masing-masing satu kes bagi Kluster Tembok Bukit Besi, Kluster Penjara Jalan Harapan dan Kluster Jalan Awang," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, seramai 152 pesakit Covid-19 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 68 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Tambah beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut merekodkan lima kematian akibat Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 1,218 kematian atau 0.37 peratus daripada keseluruhan kes.

Katanya, tiga kematian dilaporkan di Hospital Sibu, Sarawak membabitkan lelaki berusia 69 hingga 84 tahun, manakala satu kes membabitkan lelaki berusia 74 tahun di Hospital Kuala Lumpur dan satu lagi lelaki berusia 83 tahun di Hospital Serdang.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mac 2021 @ 4:48 PM