GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Empat kluster baharu Covid-19 direkodkan, hari ini dengan tiga kluster berkaitan tempat kerja dan satu dalam komuniti.

Kluster berkenaan adalah Kluster Cyber 72 dan Jalan i-Park Tiga di Johor; Kluster Jalan Loke Yew di Kuala Lumpur serta Kluster Bukit Bayas di Terengganu (komuniti).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, rekod hari ini juga menunjukkan kes harian terendah bagi 2021 dengan 1,529 kes, manakala jumlah kes aktif kurang daripada 20,000 kes.

Bagaimanapun, katanya, lapan kematian dicatat iaitu dua kes masing-masing di Sabah, Pulau Pinang dan Johor, manakala Sarawak (1) serta Kuala Lumpur (1).

"Sebanyak 2,076 kes sembuh menjadikan jumlah kumulatif 294,034 kes, manakala 160 kes masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 79 orang memerlukan bantuan pernafasan.

"Daripada 1,529 kes harian baharu, Selangor kekal penyumbang tertinggi dengan 726 kes, manakala jumlah kes aktif adalah 19,778.

"Diharapkan tren jumlah kes menurun ini akan berterusan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, terdapat 34 kes dilapor berkaitan kluster di penjara, lokap, dan depot tahanan imigresen (DTI) dengan 17 kes di Kluster DTI Persiaran Wawasan; Kluster Penjara Jalan Harapan (8); Kluster Tembok Taiping (5); Kluster Penjara Sungai Jelok (2); Kluster Tembok Bukit Besi (1) dan Kluster Tembok Pengkalan Chepa (1).

Dr Noor Hisham berkata, pertambahan kes tertinggi bagi Kluster Industri Sungai Gadut iaitu sebanyak 51 kes, diikuti Kluster Industri Subang (36 kes), dan Kluster Kebun Baru mencatatkan 22 kes.

Menurutnya, sembilan kluster tamat menjadikan keseluruhan kluster tamat adalah 736.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mac 2021 @ 7:16 PM