TANGKAP layar video dimuat naik Hayat Muhamad yang menunjukkan seorang lelaki memecahkan sebahagian tembok pagar dibina  di hadapan rumahnya. FOTO Ihsan Hayat Muhamad
TANGKAP layar video dimuat naik Hayat Muhamad yang menunjukkan seorang lelaki memecahkan sebahagian tembok pagar dibina di hadapan rumahnya. FOTO Ihsan Hayat Muhamad
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: "Biarlah saya rugi sedikit daripada berterusan menanggung dosa kerana mengambil hak orang lain," kata peguam Hayat Muhamad.

Hayat, 38, memberi reaksi itu bagi mengulas mengenai video dimuat naiknya di TikTok yang menunjukkan seorang lelaki memecahkan tembok pagar rumah.

Berdasarkan kapsyen pada video berkenaan, Hayat memberitahu secara ringkas yang tindakan itu dilakukan kerana kesilapan mengukur keluasan tanah dan reda menanggung kerugian itu asalkan dirinya selamat di akhirat.

Menceritakan kisah di sebalik video itu, Hayat berkata, tembok dirobohkan itu dibina di rumahnya di atas tanah pusaka peninggalan arwah bapanya Muhamad Othman di Kuala Terengganu, Terengganu.

Menurut Hayat, tembok itu sedang dalam pembinaan, namun perasaan ragu-ragu menyebabkannya mendapatkan khidmat juruukur untuk membuat ukuran semula.

"Hasil pemeriksaan mendapati memang ada kesilapan pada ukuran lama.

"Jadi, saya ambil keputusan untuk robohkan semula sebahagian tembok berkenaan kerana tidak sengaja dibina di tanah milik jiran walaupun kerugian RM1,000 daripada RM20,000 kos keseluruhan.

"Lagipun, dalam ajaran Islam ada dinyatakan haram hukumnya mengambil tanah orang lain walaupun sejengkal," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

HAYAT berkongsi kisahnya di TikTok. FOTO Ihsan Hayat Muhamad
HAYAT berkongsi kisahnya di TikTok. FOTO Ihsan Hayat Muhamad

Menurut Hayat, jirannya maklum mengenai perkara itu dan memahami apa yang berlaku bukan disengajakan.

Hayat berharap, perkongsiannya di TikTok itu memberi peringatan kepada pengikut dan individu yang menonton video dimuat naiknya mengenai perkara berkenaan.

"Ini perkara serius yang tidak boleh dibuat main kerana walau apa alasan sekalipun, hak orang lain tetap bukan kepunyaan kita.

"Jadi, mereka yang berhasrat membuat binaan di tanah pusaka diharap lebih peka dan tidak merujuk pada geran lama semata-mata.

"Sebaliknya, dapatkan khidmat juruukur bertauliah bagi mendapatkan kepastian mengenai ukuran sebenar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 9:00 PM