DUA pelajar membonceng motosikal dengan baju diconteng perkataan mencarut dan menghina guru. FOTO ihsan pembaca
DUA pelajar membonceng motosikal dengan baju diconteng perkataan mencarut dan menghina guru. FOTO ihsan pembaca
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Biadab dan tidak bermoral. Itu pandangan Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) Mohd Azizee Hasan berhubung tindakan dua pelajar menconteng belakang baju sekolah dengan perkataan kesat dan mencarut terhadap guru.

Gambar menampakkan perkataan itu tertulis pada belakang baju dua pelajar yang membonceng motosikal itu tular di media sosial sejak semalam.

Mohd Azizee berkata, iGuru ada menerima perkongsian dan aduan mengenai perkara itu di aplikasi Telegram.

"Tindakan itu menunjukkan sikap biadab, tidak bermoral dan mencerminkan generasi pelajar yang rosak nilai kerohanian.

"Perbuatan pelajar menggunakan ungkapan kesat dan makian terhadap guru menunjukkan rasa tidak hormat selain menghina warga pendidik," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, pihak sekolah wajar mengambil tindakan disiplin tegas terhadap pelaku bagi mengawal perbuatan seumpama itu berulang.

Selain itu, beliau turut menasihati ibu bapa dan penjaga supaya mengingatkan anak masing-masing mengenai kepentingan menghormati warga guru selain memantau tingkah laku mereka.

"Tanggungjawab mendidik generasi hari ini bukan hanya terletak di bahu guru, tetapi kembali kepada tanggungjawab asas ibu bapa.

"Komuniti, ibu bapa dan masyarakat perlu bersama-sama membendung gejala tidak bermoral," katanya.

Terdahulu, seorang pemilik akaun Facebook memuat naik gambar dua pelajar lelaki dipercayai calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang baru selesai menduduki peperiksaan menaiki motosikal dengan pakaian sekolah mereka diconteng perkataan kesat.

Perkongsian itu meraih lebih 2,000 komen selain dikongsi lebih 7,000 orang dengan rata-ratanya melahirkan rasa marah terhadap perbuatan pelajar itu menghina guru yang mendidik mereka selama ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 6:33 PM