MODUS operandi meminta sedekah tidak lagi dengan menadah tangan di tangga masjid atau di laluan pejalan kaki, sebaliknya ia juga dilakukan secara maya
MODUS operandi meminta sedekah tidak lagi dengan menadah tangan di tangga masjid atau di laluan pejalan kaki, sebaliknya ia juga dilakukan secara maya
Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Bersedekah adalah amalan mulia yang dituntut dalam agama Islam bahkan ramai yang berlumba-lumba untuk melakukannya kerana mahu mengumpul saham akhirat.

Pandemik Covid-19 yang menyerang Malaysia sejak setahun lalu menyebabkan ramai terhimpit dengan kemelut kewangan hingga ada yang terputus bekalan makanan.

Namun di sebalik ujian getir itu, ada pihak dikesan cuba menangguk di air keruh untuk mendapatkan wang mudah hanya dengan 'menjual' cerita sedih mereka.

Kini modus operandi meminta sedekah tidak lagi dengan menadah tangan di tangga masjid atau di laluan pejalan kaki, sebaliknya ia juga dilakukan secara maya menggunakan saluran media sosial terutama aplikasi WhatsApp yang dihantar secara rawak untuk meraih simpati seterusnya mendapatkan wang.

Peniaga yang mahu dikenali sebagai Hafiz, 30-an, berkata, dia pernah menerima beberapa pesanan melalui WhatsApp daripada nombor tidak dikenali.

Menurutnya, individu terbabit hanya memperkenalkan diri secara ringkas sebelum menceritakan kesusahan dialaminya untuk meraih simpati.

"Pernah saya menerima pesanan WhatsApp daripada beberapa individu tidak dikenali menceritakan kesusahan mereka kehilangan kerja, terputus bekalan makanan dan menghidap pelbagai penyakit kronik.

"Pada mulanya saya kasihan membaca kemelut dihadapi dan mahu memberi bantuan dalam bentuk makanan dan wang.

"Namun individu itu mula mengelak dan memaklumkan hanya memerlukan wang sahaja sambil memberikan nombor akaun bank untuk saya transfer (pindahan wang).

"Apabila saya mendesak individu terbabit memberikan alamat rumah dan mengajaknya bertemu, dia enggan serta terus senyap selepas jeratnya tidak mengena," katanya.

Perkara sama turut dilalui pekerja swasta, Abdul Ghani Drahman, 45, apabila berhadapan individu mahu mengambil kesempatan dengan menjual kisah sedih dan kesempitan hidup untuk meminta bantuan.

Katanya, menjadi persoalan bagaimana mereka boleh menghubungi seseorang secara rawak dan terus meminta bantuan kewangan.

"Saya ada terima pesanan WhatsApp meminta bantuan, tetapi tidak mahu dalam bentuk barang keperluan kerana mendakwa lebih mudah jika diberikan wang menerusi pindahan wang.

"Mencurigakan apabila mereka memberi pelbagai alasan semata-mata tidak mahu bersemuka kerana mendakwa tinggal di negeri lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 1:00 PM