GAMBAR kenangan Fadhil (kanan) dan Kak Mala (dua dari kiri) yang diambil pada 1988. FOTO Ahmad Fadhil Zhafri Ahmad Fuad
GAMBAR kenangan Fadhil (kanan) dan Kak Mala (dua dari kiri) yang diambil pada 1988. FOTO Ahmad Fadhil Zhafri Ahmad Fuad
Murnaena Muhammad Nasir


Kuala Lumpur: Memori bersama pengasuh ketika usia kanak-kanak biasanya menjadi sekadar kenangan yang lama-kelamaan dilupakan dimamah usia.

Namun, berbeza bagi bapa satu anak, Ahmad Fadhil Zhafri Ahmad Fuad, 38, yang mahu berjumpa bekas pengasuhnya, Maragamah Vellu, 51, walaupun sudah tidak berhubung lebih 30 tahun.

Mesra disapa Fadhil berkata, pada awalnya niat kembali ke kampung tempatnya membesar di Berjuntai Tin Dredging, Selangor, itu mahu berjumpa guru mengajinya, namun tidak menyangka ia membawa kepada pertemuan dengan pengasuhnya yang lebih dikenali dengan nama Kak Mala.

Kak Mala menjaganya selama empat tahun sejak 1984 dari usianya satu tahun dan menjaga dua adiknya, Ahmad Fateh Zhafri dan Farah Nurfadhilah selepas itu.

"Tergerak hati ingin bertanya mengenai bekas pengasuh saya kepada Pak cik Khalid (guru mengajinya) ketika melawatnya November lalu.

"Dia kemudian beritahu keluarga Kak Mala tidak pernah berpindah dan sering berkunjung ke kampungnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Fadhil (kiri) berjumpa semula pengasuhnya, Kak Mala selepas 30 tahun dan mengucapkan terima kasih kerana sudah menjaganya ketika kecil dulu. FOTO Ahmad Fadhil Zhafri Ahmad Fuad
Fadhil (kiri) berjumpa semula pengasuhnya, Kak Mala selepas 30 tahun dan mengucapkan terima kasih kerana sudah menjaganya ketika kecil dulu. FOTO Ahmad Fadhil Zhafri Ahmad Fuad

Menurutnya, sebaik mengetahui hal itu dia bergegas ke rumah Kak Mala dan kebetulan pengasuhnya itu dalam perjalanan pulang dari Shah Alam.

Katanya, dia tidak menyangka keluarga Kak Mala masih tinggal di situ selepas dia berpindah ke Terengganu pada Julai 1990.

"Apabila saya sampai di depan rumahnya dan memperkenalkan diri, semua adik-beradik Kak Mala riuh menyambut kedatangan saya.

"Adik beradiknya sememangnya mengenali keluarga saya. Mereka terus hubungi Kak Mala dan memberitahu 'anak asuhannya sudah pulang' dan Kak Mala menyuruh untuk menunggu ketibaannya," katanya.

Menurutnya, pada awalnya pengasuhnya itu tidak mengecamnya, namun selepas memberitahu nama ibu dan bapanya, akhirnya dia mengenalinya.

Katanya, Kak Mala terus mengalirkan air mata dan memegang tangannya erat dan turut menzahirkan rasa rindunya kepada mereka tiga beradik.

"Hanya saya yang masih mengingatinya manakala adik yang lain tidak kerana terlalu kecil pada waktu itu. Dalam pertemuan itu, Kak Mala sempat menyuapkan capati dan memberitahu makanan itu adalah kegemaran saya.

"Saya begitu tersentuh apabila Kak Mala menunjukkan gambarnya bersama kami tiga beradik yang diambil pada 1988.

"Hati saya begitu sayu selepas melihat gambar itu kerana saya tidak pernah melihatnya dan tiada dalam simpanan keluarga. Mungkin pada orang lain, situasi ini biasa, namun bagi saya kenangan ini cukup melekat di hati," katanya yang kini menetap di Shah Alam.

Terdahulu, Fadhil berkongsi gambar kenangan bersama adik beradik dan pengasuhnya yang diambil pada 1988 di Facebook Malaysiaku Dulu Dulu Official.

Menerusi perkongsian itu, Fadhil berkongsi dia dan adik beradiknya dijaga dan diasuh seorang wanita India yang dipanggil Kak Mala dan ketika foto itu diambil pengasuhnya baru berusia 14 tahun manakala dia berusia lima tahun serta adiknya masing-masing tiga dan dua tahun.

Perkongsian pertemuan semula itu turut mendapat perhatian warganet sehingga dikongsi lebih 600 kali dan meraih lebih 24,000 tanda suka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 9:32 PM