Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Idea pemilikan kelab bola sepak Valencia bakal memberi nafas baharu kepada arena bola sepak tempatan khususnya buat pemain muda negara untuk meraih pengalaman beraksi di pentas Eropah.

Bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh berkata, perkara terbabit tidak mustahil berlaku memandangkan Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut memiliki kelab tempatan, Johor Darul Ta'zim (JDT) yang bakal meraih sejuta manfaat daripada pembelian pasukan yang bersaing dalam La Liga di Sepanyol itu.

Katanya, ia berbeza dengan beberapa pemilik kelab Eropah dari Malaysia sebelum ini yang jarang mengetengahkan bakat muda negara di Eropah kerana tiada kepentingan dalam Liga Malaysia (Liga M).

Namun baginya, Tunku Ismail mengutamakan bakat pemain tempatan kerana beliau sering meletakkan kepentingan JDT dan Malaysia sebagai keutamaan dengan pendedahan pemain negara akan menguntungkan skuad Harimau Selatan untuk jangka masa panjang.

"Jangan lupa JDT pemiliknya adalah Tunku Ismail. JDT perlukan pemain tempatan dan corak pembangunan terbaik. Kalau jadi beli, JDT ini pun penting untuk Tunku Ismail dan sudah tentu pemain tempatan akan diberi peluang (berlatih dan bermain di Valencia).

''Sekiranya berlaku, ia memberi nafas baharu kepada bola sepak negara. Ia berbeza dengan pemilik kelab dari Malaysia lain. Contoh Tan Sri Vincent Tan dengan Cardiff City dan KV Kortrijk serta Tan Sri Tony Fernandes bersama Queens Park Rangers sebelum ini.

"Mereka tak ada kepentingan bola sepak di Malaysia, jadi sebab itu jarang pemain kita pergi ke sana. Bagi Tunku Ismail, perkembangan bola sepak lebih penting daripada yang lain sebab beliau ada kelab di Malaysia," katanya.

Kelmarin, Tunku Ismail membayangkan keinginan membeli kelab Valencia daripada rakan baiknya yang juga ahli perniagaan terkenal dari Singapura, Peter Lim.

Menurut Serbegeth atau lebih dikenali dengan panggilan Shebby, budaya bola sepak Sepanyol lebih sesuai buat Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu berbanding kelab di England.

"Budaya bola sepak berlainan kerana berdasarkan pengalaman saya selama setahun dengan Blackburn Rovers FC dahulu, kebanyakannya memperlekehkan kita terutama apabila hendak buat perubahan.

"Tapi di Sepanyol lain sikit, budayanya tidak seperti di England apabila orang yang memahami bola sepak diterima mereka dan Tunku Ismail cukup memahami asam garam bola sepak moden" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 6:35 AM