Mohd Halim tempuh perjalanan 80km untuk ke sekolah dua kali seminggu.
Mohd Halim tempuh perjalanan 80km untuk ke sekolah dua kali seminggu.
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Demi anak bangsa, guru bahasa Melayu, Mohd Halim Mohamad Zaid menyahut cabaran berkhidmat di Sekolah Kebangsaan (SK) Balar, Gua Musang, Kelantan selepas 14 tahun mengajar di ibu kota.

Meskipun masih baru di situ, Mohd Halim, 42, tidak kekok menyesuaikan dirinya malah seronok ditugaskan mengajar di sekolah kawasan pedalaman.

Mohd Halim berkongsi pengalamannya itu menerusi satu hantaran di Facebook (FB) Arena Motor dengan menceritakan rutin perjalanannya ke sekolah menunggang motosikal Honda EX5.

Perkongsiannya itu mendapat perhatian warganet yang rata-ratanya memuji kesungguhannya sebagai pendidik.

Bercerita lanjut, Mohd Halim berkata, dia tidak sangka perkongsian bertajuk 'Kisah Cikgu & EX5 Kambing Di Sekolah Pedalaman Untuk Anak Bangsa' itu menjadi tular kerana niatnya sekadar berkongsi ketahanan motosikalnya melalui laluan balak dan berbukit untuk sampai ke sekolah.

Katanya, hantaran dimuat naik itu bukan keluhan, sebaliknya sekadar perkongsian pengalamannya sebagai guru yang baru bertugas di kawasan pedalaman

"Sudah berbelas tahun saya mengajar di Klang, Selangor dan sepanjang tempoh itu, saya tidak merasai pengalaman menunggang motosikal kerana memandu kereta ke tempat kerja.

"Selepas ditukarkan mengajar di sini (SK Balar), barulah saya merasai pengalaman menunggang motosikal kapcai ke sekolah.

"Ia pengalaman baru yang menyeronokkan, namun bukan setiap hari saya menempuhinya, sebaliknya hanya dua kali saja dalam seminggu.

"Ini kerana saya disediakan kuarters bersebelahan sekolah, jadi hanya akan menunggang motosikal ketika mahu pulang ke rumah transit guru di Kuala Betis, Gua Musang selepas waktu mengajar pada Khamis dan kembali semula ke Pos Balar (kuarters) pada Sabtu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Guru kepada murid Tahun Tiga dan Enam itu berkata, jarak antara rumah transit ke sekolah sejauh 80 Kilometer (km) dan mengambil masa selama empat hingga lima jam untuk sampai ke destinasi ketika cuaca biasa.

Namun, katanya, tempoh masa lebih lama iaitu tujuh hingga sembilan jam akan diambil untuk sampai destinasi ketika musim hujan.

"Mulanya memang risau jika motosikal saya mengalami masalah ketika berada di tengah jalan, namun setakat ini, semuanya dalam keadaan baik.

"Cuma, saya perlu bergerak lebih awal supaya tiba pada waktunya iaitu sebelum hari gelap.

"Saya bersyukur ditempatkan mengajar di sini dan positif untuk melalui hari mendatang kerana sudah menjadi tugas saya untuk mendidik tidak kira di sekolah mana sekalipun.

"Lagipun, saya dikira masih baru dalam menempuhi pengalaman ini dan tidak dapat dibandingkan dengan pengorbanan guru yang lebih lama berkhidmat daripada saya," katanya yang juga melakukan pekerjaan sambilan sebagai jurugambar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mac 2021 @ 9:45 PM