PETUGAS kesihatan mengambil vaksin Pfizer BioNtech untuk suntikan pada seorang kakitangan hospital. FOTO Aizuddin Saad
PETUGAS kesihatan mengambil vaksin Pfizer BioNtech untuk suntikan pada seorang kakitangan hospital. FOTO Aizuddin Saad
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Mana-mana individu yang bertindak melompat giliran bagi cuba mendapatkan vaksin Covid-19 pada Program Imuniasasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang berlangsung ketika ini berdepan penalti denda tidak lebih RM50,000 atau hukuman penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

Ia susulan penguatkuasaan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang berkuatkuasa pada 11 Mac ini, yang turut menyertakan 10 peruntukan, termasuk lima peruntukan baharu dan lima peruntukan sedia ada dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) boleh menggunakan Seksyen 31 yang memberi puncakuasa untuk pengenaan penalti mengikut Akta 342 bagi mana-mana kesalahan yang tidak dinyatakan dalam akta berkenaan.

"Peraturan bawah subseksyen baharu ini boleh menetapkan apa-apa perbuatan yang melanggar peraturan-peraturan dalam Akta 342 menjadi suatu kesalahan dan boleh dikenakan penalti denda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

"Kita ada Seksyen 21A yang dipanggil peruntukan baharu, (memberi) kuasa kepada Ketua Pengarah Kesihatan, membolehkannya mengeluarkan apa-apa cara, cara yang hendak dibuat.

"Sebagai contoh, seseorang dijadualkan mengambil pelalian tetapi mereka tidak datang (tanpa alasan munasabah) atau kita dah beri nama untuk mendapat suntikan pada tarikh tertentu tetapi dia tiba-tiba potong giliran," pada sidang media bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Hal Ehwal Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Dr Adham berkata, tindakan itu boleh dikeluarkan dengan arahan Ketua Pengarah Kesihatan.

Katanya, KKM juga belum menerima sebarang laporan rasmi membabitkan mana-mana individu memotong giliran untuk mendapatkan vaksin setakat ini.

Pun begitu, Takiyuddin berkata, penakrifan individu yang layak mendapatkan vaksin ketika ini perlu jelas bagi mengelakkan seseorang ditohmah sebagai melompat giliran.

Selain itu, pemasukan 10 peruntukan baharu dan sedia ada ke dalam Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 antara lain turut memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Kesihatan mengeluarkan arahan mengikut akta induk, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Takiyuddin berkata, Seksyen 21A iaitu Arahan Ketua Pengarah, membolehkan Ketua Pengarah Kesihatan mengeluarkan sebarang arahan bagi pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit.

"Semasa wabak Covid-19, kuasa Ketua Pengarah Kesihatan hanya diperuntukkan bawah Peraturan-Peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Dengan peruntukan baharu ini, Ketua Pengarah Kesihatan boleh mengeluarkan apa-apa cara, sama ada secara am atau khusus, kepada mana-mana orang atau golongan orang supaya mengambil langkah-langkah bagi mencegah dan mengawal penyakit berjangkit," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mac 2021 @ 5:33 PM