LUCA dan Kmy hasil karya secara tersurat, tersirat pada semua peringkat umur.
LUCA dan Kmy hasil karya secara tersurat, tersirat pada semua peringkat umur.
Syafil Syazwan Jefri


HIDUP pada zaman moden dengan teknologi di hujung jari sememangnya memudahkan, namun penuh cabaran kerana ujian yang mungkin kita anggap ringan, sebenarnya sedang berlaku di depan mata.

Dengan adanya media sosial, jari nampaknya menjadi 'lidah' dan dengan mudah melontarkan kata-kata yang kadang-kadang seakan tiada batasan.

Setiap individu mula terbuka untuk melontarkan pendapat tanpa memikirkan kesan, bahkan hukum sekali gus mula melupakan adab.

Bagi gandingan duo yang mula kukuh dalam industri seni suara sebagai penyanyi rap, komposer dan penerbit, Luca Sickta dan Kmy Kmo sentiasa mengangkat isu semasa yang nampaknya mula dipandang ringan oleh kebanyakan generasi muda.

Idea ini dituangkan mereka di dalam lagu-lagu dihasilkan, sekali gus menterjemahkan mesej yang ingin mereka sampaikan kepada pendengar.

"Kalau dilihat, mesej yang kami selitkan dalam karya kami adalah berdasarkan apa yang kami nampak sepanjang perjalanan kehidupan ini.

"Ada juga kisah-kisah serta pengalaman daripada orang yang kami kenal dan ada juga isu semasa yang kami alihkan ke dalam bentuk karya," kata Luca.

Menurut Luca, menjadi 'kepantangan' buatnya apabila melihat individu yang melanggar batasan dalam bertindak dan menggunakan alasan, berfikiran terbuka.

"Saya pantang bila orang menggunakan alasan berfikiran terbuka atau 'open minded' sebagai alasan untuk melanggar batasan serta adab.

"Kita orang Melayu, selalu menekankan mengenai adab semasa membesar. Tapi, sekarang saya lihat, adab ini sudah dipandang remeh.

"Jadi, menerusi lagu-lagu dihasilkan, saya harap kami dapat sampaikan mesej secara tidak langsung sambil berhibur," katanya.

Bagi Kmy pula, dia dan Luca lebih selesa menghasilkan karya dengan mesej tersirat dan tersurat, yang mampu memberi perkongsian buat pendengar.

"Memang kami lebih selesa dengan karya yang bercerita begini. Kami ada juga hasilkan lagu tentang emosi, cinta dan sebagainya, tapi lebih memilih ke arah lagu bermesej yang sesuai untuk semua peringkat umur," katanya.

Tambah Kmy, dia sentiasa mengingati pesanan daripada 'guru' mereka yang juga penyanyi, komposer, penulis lirik dan penerbit iaitu Malique Ibrahim dalam membawa karya tempatan ke peringkat yang lebih tinggi.

"Malique ada berkongsi satu perumpamaan yang saya ingat sampai hari ini. Malaysia dihuni masyarakat berbilang kaum, tapi semuanya tidak ada masalah untuk makan nasi lemak atau boleh dikatakan, semua faham Bahasa Melayu.

SINGLE Neraca gandingkan Luca dan Kmy bersama Jamal Abdillah.
SINGLE Neraca gandingkan Luca dan Kmy bersama Jamal Abdillah.

"Jadi, kami di sini nak bawa karya berbahasa Melayu ke serata dunia, sama seperti yang pernah dilakukan oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza. Kita lihat sajalah, artis K-pop dari Korea Selatan yang kini makin berjaya membawa muzik mereka menjelajah ke seluruh dunia.

"Jadi, kami menetapkan supaya karya kami menggunakan Bahasa Melayu sebagai keutamaan dan kalau ada pun, diselit juga dengan beberapa perkataan bahasa asing," katanya.

Menurut Kmy, dia juga pernah menerima kiriman mesej daripada pelajar yang bertanya mengenai erti sesuatu perkataan yang mereka gunakan dalam lagu.

"Ada perkataan yang kami gunakan dalam lagu diambil daripada Kamus Dewan.

"Jadi, ada pelajar yang menghantar mesej dan bertanya, apa erti untuk sesuatu perkataan. Bagi saya, itu adalah pengalaman menyeronokkan dan begitu berharga," katanya.

Kerjasama dengan Jamal

Terbaharu, Luca dan Kmy hadir dengan single berjudul Neraca. Menariknya, Neraca adalah karya kolaborasi antara mereka dengan bintang legenda, Datuk Jamal Abdillah.

"Demo pertama untuk lagu Neraca ini kami siapkan pada 2018, sekali dengan lagu Zuhud dan 7 Nasihat. Memang kami dah rancang untuk memuatkan karya ini dalam satu album.

"Pada 2019, kami mula menambah baik beberapa bahagian dalam lagu ini sehinggalah kami dipertemukan dengan Jamal. Untuk menambah nilai, dia menyuntik sedikit elemen ghazal sebab kita semua sedia maklum mengenai impak lagunya, Ghazal Untuk Rabiah," kata Luca.

Bercerita mengenai lagu Neraca ini, Luca menjelaskan bahawa ia berkaitan dengan isu semasa dan masalah sosial.

"Kami cuba sampaikan mesej mengenai isu dan masalah sosial yang kini mula dilihat sebagai perkara normal. Semuanya nampak, seperti dah tak ada peraturan yang perlu kita patuhi.

"Benda ini tidak sepatutnya berlaku dan ia benar-benar mengejutkan apabila mula diterima ramai," katanya.

Berkongsi mengenai kolaborasi bersama Jamal, Kmy berkata, ia umpama mimpi yang menjadi kenyataan.

"Kami berdua dah mula hasilkan muzik sejak zaman sekolah lagi. Kami meletakkan nama-nama besar sebagai idola antaranya, Siti Nurhaliza, Datuk M Nasir dan juga Jamal.

"Bila berada di tempat kami sekarang, dapat pula bantuan daripada Universal Music Malaysia, kami rasa ini masa yang sesuai untuk kami merealisasikan segala yang pernah diimpikan itu," katanya.

Lagu Neraca kini sudah dilancarkan di semua platform digital dan video muziknya juga sudah mencatat lebih 450,000 tontonan di YouTube sejak dilancarkan pada 19 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 6:00 AM