Laporan Portal Harian Metro
Laporan Portal Harian Metro
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: "Sajat dilihat seolah-olah mempermainkan penguatkuasaan undang-undang syariah di negara ini.

"Pihak berkuasa agama perlu tegas dalam melaksanakan undang-undang diperuntukkan tanpa ada diskriminasi," kata bekas mak nyah, Jefferi Mohd Nor.

Jefferi, 56, berkata demikian apabila ditanya mengenai tindakan Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat dipercayai bersembunyi daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang sedang mengesannya.

Selepas gagal dikesan, Sajat memuat naik hantaran berbaur sindiran di Instagram miliknya semalam, dipercayai ditujukan kepada pihak berkuasa itu.

Jefferi berkata, tindakan ahli perniagaan kontroversi itu adalah untuk menguji pihak berkuasa agama, sekali gus menampakkan kelemahan pihak berkenaan.

Menurutnya, apa pandangan masyarakat apabila golongan transgender kini sudah semakin berani dan tidak menghormati pihak berkuasa agama.

"Tindakan dia melarikan diri dan selepas itu memuat naik hantaran di media sosial sebenarnya memberi peluang populariti kepada dirinya di sebalik kelemahan pihak lain.

"Nanti apabila ditangkap, dia cuba meraih simpati masyarakat pula. Dalam hal ini, Jais perlu tegas dan tidak perlu takut untuk melaksanakan tindakan seterusnya," katanya.

Jefferi yang juga ahli perniagaan kosmetik berkata, Jais perlu memainkan peranan sebaik mungkin supaya tidak dipersendakan oleh masyarakat.

Pada Selasa lalu, Sajat dikenakan waran tangkap selepas gagal hadir sebutan semula pertuduhan berpakaian wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

Menurut sumber, waran tangkap itu dikeluarkan Hakim Syarie Mohammad Khalid Shaee@Shaii.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2021 @ 5:37 PM