Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kumpulan pertama membabitkan 312,390 dos vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech yang dibawa menggunakan pesawat khas selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin berkata, penghantaran kumpulan kedua vaksin berkenaan pula akan diterima pada 26 Februari ini.

"Kita akan menerima penghantaran seterusnya setiap dua minggu sehingga menerima jumlah keseluruhan tempahan daripada Pfizer dan tidak termasuk vaksin lain.

"Ini adalah detik bersejarah bagi kita apabila vaksin ini sudah sampai dan kita boleh buat persediaan awal bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan," katanya pada sidang media selepas menyambut ketibaan vaksin berkenaan, hari ini.

Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata, kumpulan vaksin berkenaan akan dihantar ke 16 lokasi pusat simpanan vaksin di seluruh negara melalui kenderaan darat.

PIHAK berkuasa memeriksa kenderaan berat di ibu negara. FOTO Ihsan DBKL.
PIHAK berkuasa memeriksa kenderaan berat di ibu negara. FOTO Ihsan DBKL.

"Ada sebahagian vaksin akan dihantar ke Johor dan dijangka tiba jam 2 petang ini serta ke Pulau Pinang melalui pesawat yang dijangka tiba jam 6 petang ini.

"Kami tidak boleh mendedahkan 16 lokasi itu yang membabitkan Johor, Pulau Pinang, Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur atas faktor keselamatan," katanya.

Kumpulan pertama vaksin berkenaan yang tiba kira-kira jam 10 pagi tadi disambut oleh Khairy bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Pesawat MH604 yang membawa vaksin berkenaan dihias dengan livery Jalur Gemilang sebagai simbolik bahawa vaksin itu adalah untuk rakyat Malaysia.

Penghantaran vaksin berkenaan dikendalikan oleh MAB Kargo Sdn Bhd (MASKargo) dengan penerbangan Passenger-to-Cargo (P2C) itu menggunakan pesawat Airbus 330-300.

Sebaik mendarat, pemindahan vaksin yang ditempatkan dalam peranti muatan unit (ULD) dari bahagian kargo pesawat ke trak milik syarikat logistik, DHL Express di kawasan Advanced Cargo Centre (ACC), KLIA.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2021 @ 11:58 AM